5,000 liter minyak diesel bersubsidi dirampas

Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa minyak diesel bersubsidi dan peralatan digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam satu serbuan di Semenyih, Selangor pada Selasa.
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa minyak diesel bersubsidi dan peralatan digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam satu serbuan di Semenyih, Selangor pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasil risikan beberapa hari sebelum serbuan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris pada Selasa.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis tidak bernombor di Semenyih, Selangor disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Menurutnya, serbuan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 5,000 liter dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM13,250 dan kertas siasatan telah dibuka.

"Siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat seterusnya mengesan rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan diedarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Azman berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac hingga 21 Mac, sebanyak 2,582 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dengan 69 kes berjaya dikesan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.27 juta.

Tegas beliau, tindakan akan diambil menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, sekiranya sabit kesalahan melibatkan syarikat, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

"Selain denda, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

"Ia merupakan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini, mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan yang dilakukan atau RM5 juta," katanya.

Beliau berkata, KPDN akan mempergiatkan operasi dengan melakukan kerjasama pengauditan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, pelaksanaan pengauditan tersebut bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel dapat dibanteras.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!