Tumbang 10 ekor lembu, jual harga 'Rahmah' RM25 sekilogram

Raja Mohd Paris (dua, kanan) menumbangkan 10 ekor lembu ternakan dan menjual daging segar pada harga 'Rahmah' iaitu RM25 sekilogram sempena menyambut hari pertama Ramadan.
Raja Mohd Paris (dua, kanan) menumbangkan 10 ekor lembu ternakan dan menjual daging segar pada harga 'Rahmah' iaitu RM25 sekilogram sempena menyambut hari pertama Ramadan.
A
A
A
GUA MUSANG - Seorang penternak muda dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh, di sini menumbangkan 10 ekor lembu ternakan dan menjual daging segar pada harga 'Rahmah' iaitu RM25 sekilogram sempena menyambut hari pertama Ramadan.

Raja Mohd Paris Raja Ismail, 35, berkata, sebanyak 1.5 tan metrik daging segar berjaya dijual dalam tempoh dua jam sahaja dan kebanyakannya sudah ditempah awal.

"Harga daging segar di sini biasanya mencecah RM35 sekilogram.

"Tetapi sempena hari ini (Khamis) serta menyambut seruan kerajaan dalam meringankan beban rakyat, saya beri potongan RM10," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut anak muda ini, pada awalnya dia hanya merancang untuk menyembelih enam ekor lembu sahaja, namun permintaan tinggi daripada penduduk sekitar memaksa dia untuk menambah empat ekor lembu lagi.

Ujarnya, sudah menjadi tradisi rakyat Kelantan apabila menyambut puasa, mereka akan menjadikan daging lembu tempatan segar sebagai hidangan semasa bersahur.

Dalam perkembangan lain, Raja Mohd Paris memberitahu, dia mula berjinak dalam bidang ternakan pada tahun 2013 dan kini memiliki lebih 200 ekor lembu.

Tambahnya, sejak tiga tahun lalu, apabila tiba bulan Ramadan, dia akan menjual daging segar dengan harga murah berbanding hari biasa bagi membolehkan orang kampung menikmatinya.

"Saya anggap ianya sebagai sedekah kepada orang ramai.

"Kebiasaannya, pada Hari Raya Aidiladha, saya akan menjual lebih 30 ekor lembu untuk tempahan ibadah korban," katanya.