MRSM berbayar tidak libatkan peruntukan kerajaan

Ahmad Zahid. - Foto Bernama.
Ahmad Zahid. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan menggunakan tanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikhaskan buat golongan miskin bagi membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kerjasama dengan beberapa pihak lain akan dilakukan untuk pembinaan tersebut.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, peruntukan untuk membangunkan MRSM tersebut juga tidak melibatkan dana daripada kerajaan.

“Untuk makluman, dalam perancangan, kami tidak akan menggunakan peruntukan daripada kerajaan sebaliknya menggunakan pendekatan kewangan swasta. Dan kita akan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan.

“Ini merupakan satu pelan yang sangat futuristik yang sedang disusun atur oleh Mara kerana permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih daripada 300 peratus daripada kemampuan untuk memasuki MRSM,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan menteri oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) yang ingin mengetahui berkenaan proses, sumber pendanaan dan juga tanah untuk membina MRSM berbayar tersebut.

Tambah Ahmad Zahid, melalui kajian kebolehlaksanaan yang telah dilakukan, ia mendapati bahawa ramai pelajar berkelayakan untuk memasuki MRSM dari segi akademik namun tidak layak dari aspek pendapatan ibu bapa.

Jelasnya, ia terutama bagi kumpulan T20 dan M40.

“Saya ingin menyebutkan juga terdapat terlalu banyak permintaan daripada alumni MRSM yang telah menjadi ibu bapa yang mahu anak-anak mereka masuk ke MRSM tetapi pendapatan mereka menyebabkan anak-anak tidak layak.

“Oleh demikian, tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang yang seluasnya untuk anak-anak alumni MRSM untuk masuk ke MRSM yang sedia ada dan apatah lagi yang berkemampuan bawa anak-anak mereka memasuki MRSM yang akan diwujudkan cara berbayar nanti.

“Dalam hal ini, kita mesti keluar daripada kepompong untuk laksanakan ini. Saya yakin ini pendekatan baharu Mara untuk menyantuni permasalahan yang dihadapi oleh mereka yang berminat tetapi tidak ada peluang untuk anak-anak masuk MRSM cara biasa,” ujarnya.