Bank Rakyat agih zakat kepada pelajar miskin

Ridzuan menyempurnakan majlis penyerahan agihan zakat Bank Rakyat kepada pelajar di SK Kesom.
Ridzuan menyempurnakan majlis penyerahan agihan zakat Bank Rakyat kepada pelajar di SK Kesom.
A
A
A

KUALA NERUS - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) memperuntukkan RM451,200 zakat untuk diagihkan kepada pelajar miskin di 33 sekolah di daerah Kuala Terengganu sehingga Mac.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Cawangan Kuala Terengganu, Jafri Zainee Abd Ghani selepas menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom.

"Sebanyak 20 sekolah di daerah berkenaan telah diagihkan dengan zakat tersebut manakala selebihnya sedang menunggu giliran untuk diserahkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan agihan zakat Bank Rakyat di SK Kesom disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim.

Ridzuan berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui kewajipan zakat dan tidak berorientasikan keuntungan perniagaan semata-mata.

“Syabas dan tahniah kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah kerana menunjukkan keprihatinan tinggi, bukan sahaja dalam hal akademik, tetapi juga hal kebajikan pelajar.

“Al-Quran menyebut secara beriringan antara perintah menunaikan solat dengan zakat. Mendirikan solat adalah satu isyarat hubungan hambaNya dengan ALLAH manakala menunaikan zakat adalah hubungan hambaNya dengan masyarakat," katanya.

Beliau juga membandingkan kaedah muamalat Islam berbanding kapitalisme yang memberikan kebebasan kepada individu untuk mengaut keuntungan dan kekayaan tanpa ada tanggungjawab untuk membantu masyarakat sehingga mewujudkan jurang yang luas antara golongan kaya dan miskin.

Artikel Berkaitan:

“Kami semua tidak mengharapkan apa-apa dari ibu bapa dan pelajar, melainkan hanyalah untuk melihat kejayaan dan kecemerlangan dari sudut akademik dan akhlak sahaja.

"Maka, hargailah pemberian ini, walaupun sedikit, tetapi ia sangat besar maknanya kepada kita. Ibu bapa perlu menunjukkan kesungguhan, komitmen tinggi, membantu pihak sekolah dalam memastikan para pelajar berjaya dalam akademik dan akhlak," katanya.