Pusat hiburan LGBTQ perlu dikenakan tindakan tegas

Akmal Saleh dan laporan Sinar Harian.
Akmal Saleh dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuka pusat hiburan berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh dimaafkan selagi tiada tindakan undang-undang yang wajar dikenakan ke atas penganjur serta sesiapa yang terlibat.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, berkata, tindakan tersebut adalah perkara yang amat mendukacitakan dalam suasana umat Islam seluruh dunia khususnya di negara ini sedang dalam persiapan untuk menyambut bulan Ramadan.

Justeru, beliau menggesa perkara tersebut segera dihentikan dan diambil tindakan sekeras-kerasnya.

"Malang sekali kita dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan, menentang nilai Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

"Pembukaan pusat hiburan tersebut secara jelas melibatkan maksiat menggalakkan amalan jenayah LGBTQ.

"Kebiadaban mereka yang dilihat sengaja ingin mencabar kesucian bulan Ramadan dan juga umat Islam seluruhnya perlu dihentikan,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, Pemuda UMNO konsisten bahawa fahaman liberal, agenda LGBTQ perlu terus dibanteras apatah lagi Islam adalah agama rasmi negara ini.

"Oleh yang demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di 191 Bahagian seluruh Negara telah dan sedang membuat laporan polis berkaitan isu ini.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera bertindak mengenalpasti penganjur dan semua pihak yang terlibat bagi mendakwa serta mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya.

Media melaporkan pemilik pusat hiburan berkenaan akur arahan pihak polis batalkan acara hiburan kumpulan 'Thai Hot Guy' berunsur LGBTQ yang dijadual berlangsung, di sini, pada 30 Mac.

Sekurang-kurangnya 60 laporan polis diterima berhubung penganjuran program itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, amaran keras telah diberikan polis kepada penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

"Penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.

"Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang," katanya.