Gempa bumi Turkiye, Syria: Mercy Malaysia salur bantuan RM5 juta

Ahmad Faizal (dua dari kiri) ketika memberikan roti kepada mangsa di Syria.
Ahmad Faizal (dua dari kiri) ketika memberikan roti kepada mangsa di Syria.
A
A
A

SHAH ALAM - Mercy Malaysia akan menyalurkan sejumlah RM5 juta bagi membantu golongan terjejas akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, sehingga kini, sebanyak RM500,000 telah digunakan untuk kedua-dua negara tersebut bagi keperluan jangka masa pendek.

Menurut beliau, RM1.5 juta yang seterusnya akan dibelanjakan sehingga awal Mei dan baki sebanyak RM3 juta lagi digunakan sehingga Julai depan.

“Kita sudah ada dana ini. Kita sudah ada dalam RM5 juta yang berjaya kumpul dan akan digunakan untuk enam bulan pertama ini. Selepas itu, kita bergantung kepada pendanaan yang seterusnya.

“Yang terlibat dalam pendanaan ini ada banyak pihak. Yang telah berjaya kumpul daripada masyarakat mencecah sehingga RM1.5 juta. Ini jumlah yang sangat membanggakan. Kita jangka lebih banyak lagi akan dikumpulkan pada puasa ini.

“Kemudian, ada beberapa pendana besar yang telah tampil ke hadapan seperti Yayasan Sime Darby, Yayasan Khazanah. Kedua-dua ini telah salurkan lebih RM1 juta dalam tabung ini. Ada lagi beberapa syarikat yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Ahmad Faizal, antara perkara yang telah dilakukan di Turkiye adalah menyediakan klinik bergerak dan statik di Samandag bagi membantu merawat mangsa yang tercedera.

“Kita bawa doktor dari Malaysia. kita juga ada sokongan doktor Malaysia yang menetap di Turkiye. Ada beberapa orang. Kita juga dapat kerjasama terus dengan bahagian kesihatan di kawasan ini,” ujarnya.

Selain itu, Mercy Malaysia turut menyediakan sebanyak 100 khemah pelbagai saiz kepada keluarga terjejas dan 10 khemah besar untuk digunakan oleh sekolah yang telah mula beroperasi.

Jelasnya, hampir 50 kontena turut akan diedarkan memandangkan terdapat beberapa kawasan yang menggunakan alat teduhan tersebut.

“Yang ini (kontena) telahpun ada pendana daripada Malaysia yang sudah bersetuju untuk membiayai. Kita sedang tunggu kebenaran daripada pihak Turkiye untuk edarkan ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pertubuhan tersebut turut menyediakan barang bantuan makanan dan alatan kebersihan diri yang telah diedarkan sejak awal tragedi itu berlaku.

“Bagi barang keperluan rumah, kita masih buat penilaian barang keperluan seperti peti ais, mesin basuh pakaian dan sebagainya yang sesuai untuk kita sampaikan kepada keluarga yang sudah hilang barang-barang ini,” ujarnya.

Bagi di Syria pula, menurutnya, antara yang telah dan akan dilakukan adalah termasuk membina klinik statik dan bergerak, penyediaan makanan ruji dan nutrisi, membawa masuk pakar perubatan dan memberikan latihan kepada pakar di sana.

Jelasnya, Mercy Malaysia telah mengambil alih sebuah kilang roti di Syria yang telah terhenti sebelum ini disebabkan gempa bumi bagi mengedarkan makanan kepada lebih 22,400 orang di sekeliling kawasan itu.

“Kita juga bercadang membawa pakar-pakar dalam bidang tertentu yang telah diminta khusus oleh Syria untuk bantu merawat dan mengajar doktor serta pakar mereka yang tertinggal berkenaan perubatan.

“Kita juga beri latihan untuk kakitangan perbidanan, kejururawatan selain beri latihan untuk dalam bidang kesihatan mental dan psikososial bagi atasi masalah trauma emosi dan mental yang dihadapi masyarakat mereka,” katanya.