'Arwah beria jemput adik'

Keadaan di pekarangan Unit Forensik HoSHAS Temerloh dengan kehadiran keluarga dan rakan mangsa pada Rabu. Gambar kecil: Haikal Aiman
Keadaan di pekarangan Unit Forensik HoSHAS Temerloh dengan kehadiran keluarga dan rakan mangsa pada Rabu. Gambar kecil: Haikal Aiman
A
A
A

TEMERLOH - "Arwah dah siap cat bilik sendiri, beli perabot baharu tapi semuanya sekarang tinggal kenangan," kata Hasrul Ibrahim, 43, ayah kepada mangsa kemalangan, Haikal Aiman Hasrul, 21, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera pada Rabu.

Allahyarham Haikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Rentam, Bera selepas menjemput adiknya, Hanis Adila, 19, yang juga penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Jitra, Kedah di Terminal Bas Temerloh.

Menurut Hasrul, Haikal yang mesra dengan panggilan Along itu membuat persediaan awal sempena Aidilfitri tahun ini.

"Sepatutnya saya yang pergi menjemput anak perempuan, namun arwah beria-ria pagi tadi dan memberitahu ingin menjemput adiknya di terminal bas selepas solat Subuh sebelum dapat panggilan daripada pihak hospital

"Sebelum itu, saya ada menelefon anak perempuan supaya melihat keadaan Along kerana risau dia mengantuk," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada Rabu.

Ujar Hasrul, Allahyarham Haikal adalah anak harapan keluarga dan banyak membantunya menguruskan bengkel besinya yang diusahakan 15 tahun lalu sejak tamat persekolahan.

Hasrul
Hasrul

Jelasnya, anak sulung daripada empat beradik itu turut berkhidmat sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bera.

"Dia (Haikal) seorang anak yang periang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.

"Saya reda walaupun sedih dengan kehilangan anak yang pergi menjelang sebelum Ramadan," jelas Hasrul.

Wan Muhammad
Wan Muhammad

Rakan baik mangsa, Wan Muhammad Ridhuan Abdullah, 22, memberitahu kali terakhir berjumpa dengan Allahyarham Haikal pada malam Selasa.

Dia yang juga rakan sekerja mangsa memberitahu, Allahyarham Haikal bersikap seperti biasa cuma merasa hairan kerana mangsa tidak mengajak dirinya untuk menjemput adik perempuan mangsa.

"Selalu arwah pergi mana sama-sama tapi kali ini dia tidak ajak saya sekali. Ketika menerima panggilan pada jam 9.30 pagi tadi, terkedu dibuatnya selain sedih kerana kami sangat rapat sejak kerja bersama di bengkel milik ayahnya sejak beberapa tahun lalu.

"Dan tiga bulan lepas, arwah ajak temankan dirinya membeli polisi insurans, katanya supaya tak tinggal kosong pada keluarganya kalau terjadi apa-apa," jelas Wan Muhammad.

Tambahnya lagi, mangsa pernah menyuarakan hasrat membeli kereta baharu selain ingin menyimpan duit untuk berkahwin demi perancangan masa depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan lori jenis Isuzu.

"Siasatan awal mendapati pemandu SUV itu dari arah Temerloh menghala ke Kerayong dan setelah sampai di tempat kejadian, pemandu telah cuba memotong sebuah kenderaan.

"Dalam pada masa, muncul sebuah lori dari arah bertentangan, disebabkan jarak yang terlalu dekat pemandu SUV tidak sempat untuk mengelak sepenuhnya dan telah berlanggar dengan lori di bahagian tepi sebelah kanan kedua-dua kenderaan terlibat.

"Akibat dari perlanggaran tersebut SUV itu telah berpusing dan melintang di laluan lori dan lori tersebut telah terbalik dalam keadaan keempat-empat tayar menghala ke atas," tambah beliau.

Jelas Zulkiflee, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang mengalami kecederaan dan pemandu lori berusia 48 tahun pula luka ringan, bengkak di bahagian kepala.

Ujar beliau lagi, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.