Waspada dendam 'Karakum Warriors'

Kim Pan-gon (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain Harimau Malaya pada sesi latihan Pasukan Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Pusat Latihan JDT pada Ahad. - Foto Bernama
Kim Pan-gon (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain Harimau Malaya pada sesi latihan Pasukan Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Pusat Latihan JDT pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengingatkan kesebelasan Harimau Malaya agar berhati-hati berdepan Turkmenistan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Menurutnya, skuad Karakum Warriors itu pastinya mahu menebus kekalahan 1-3 kepada skuad negara pada aksi Kelayakan Piala Asia 2923, di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

"Rasanya mereka (Turkmenistan) agak kecewa dengan kekalahan tersebut dan mahu membuktikan mereka sebenarnya pasukan yang lebih baik berbanding kita.

"Dalam masa sama, kita juga mahu membuktikan bahawa pasukan kita adalah yang lebih baik dan itulah sebabnya mengapa kita memilih mereka sebagai lawan bagi aksi persahabatan kali ini.

"Oleh itu, perlawanan antara kedua-dua pasukam ini dijangka menarik esok (malam ini)," katanya pada Rabu.

Untuk rekod, Turkmenistan berada pada ranking ke-135 dunia ketika ini berbanding 145 bagi skuad negara.

Sementara itu, Pan-gon berharap agar penyokong dapat membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kendaliannya itu.

Katanya, kehadiran penyokong itu diharap dapat mengulangi kejayaan skuad negara menewaskan Turkmenistan tahun lalu.

"Kita pernah menewaskan mereka dan ketika itu stadium dibanjiri penyokong, oleh itu pada perlawanan kali ini diharap perkara sama akan berlaku," katanya.