KDN teliti jumlah kanak-kanak di depot tahanan

Saifuddin ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Rabu.
Saifuddin ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengenalpasti jumlah sebenar kanak-kanak yang berada dalam tahanan di depot Imigresen pada masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihaknya akan meneliti persediaan asas untuk menyerahkan mereka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus bagi penjagaan kanak-kanak.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha KDN dan pegawai atasan KDN untuk memastikan perkara ini berterusan, persediaan asas dilaksanakan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan KDN dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara sebelum diserahkan kepada NGO berkaitan selepas isu berkenaan mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia dan badan antarabangsa.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan Datuk Seri Najib Tun Razak, Saifuddin Nasution mengesahkan bekas Perdana Menteri itu menjalani rawatan di sebuah hospital di ibu negara atas faktor kesihatan.

"Semalam KP (Ketua Pengarah) Jabatan Penjara maklumkan saya, benar beliau (Najib) dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan bersabit kesihatan.

"Itu permohonan biasa, dibolehkan, Jabatan Penjara memberikan pelepasan dalam tempoh tertentu. Bergelar tahanan sekalipun tidak menghilangkan hak dia (Najib) untuk mendapatkan rawatan, itu kaedah KDN khususnya Jabatan Penjara menguruskan hal seperti ini,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak beberapa hari lalu dipercayai mengalami jangkitan pada paru-paru.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.