Polis Kelantan rampas dadah RM37.1 juta dalam tiga bulan

Azman (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPD Tanah Merah pada Rabu.
Azman (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPD Tanah Merah pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan telah menangkap seramai 4,240 orang dan merampas RM37.1 juta dadah dalam tempoh tiga bulan bermula Januari hingga 20 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, kejayaan tersebut hasil mengadakan Ops Tapis Harian, Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ops Tapis Bersepadu.

"Antara jenis dadah yang paling banyak dirampas ialah syabu iaitu nilaian RM34 juta, ketamin (RM1.4 juta) dan pil yaba (RM1.3 juta).

"Ia diikuti ganja RM103,752, daun ketum (RM79,542), heroin (RM64,091), psikotropik (RM28,182), air ketum (RM24,217), ubat batuk (RM13,267) dan eramin5 (RM8,730)," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Rabu.

Menurut beliau, hasil daripada tempoh operasi yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan telah membawa kepada empat kes di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Ujarnya, ia melibatkan rampasan sepucuk pistol besi bertulis Retay 84 FS CAL 9MM berserta 34 biji peluru hidup, satu laras senapang angin, sepucuk pistol jenis semi automatik Beretta U.S.A berserta sembilan peluru hidup dan satu laras senapang patah.

Azman memberitahu, sepanjang tempoh tiga bulan tersebut Polis Kelantan berjaya menyita harta bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 sebanyak RM1.1 juta.

"Polis Kelantan akan terus melipat gandakan usaha dalam membendung aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.

"Pada masa sama, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti ini," tegasnya.