'Penganjuran Thai Hot Guy keterlaluan, tidak sensitif'

Dewan Ulama Pas Pusat sebelum ini mengecam penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac depan yang dilihat boleh mencemarkan imej negara di mata umat Islam seluruh dunia. Gambar kecil: Takiyuddin
Dewan Ulama Pas Pusat sebelum ini mengecam penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac depan yang dilihat boleh mencemarkan imej negara di mata umat Islam seluruh dunia. Gambar kecil: Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menimbang semula keputusan membenarkan acara pembukaan rasmi sebuah bar menjemput kumpulan Thai Hot Guy yang seolah-olah mempromosikan budaya hedonistik, lucah dan seks bebas pada 30 Mac ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, acara berkenaan disifatkan sebagai keterlaluan, tidak sensitif dan menjijikkan.

Menurutnya, acara tersebut berlawanan dengan budaya tempatan dan pihak terbabit seolah-olah tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“Lebih mengecewakan apabila ia diadakan pada bulan Ramadan.

“Pas juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar. Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, agensi pendaftaran syarikat perlu berhati-hati dalam hal itu dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor kesesuaian dan kewajaran.

Pada masa sama, Takiyuddin menjelaskan penganjuran tersebut sama sekali tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Ujar beliau, kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk membenarkan seseorang melakukan tindakan negatif seperti itu.

“Semua pihak perlu mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan,” katanya.