Lima beranak terpaksa catu makan
JOHOR BAHRU - Pasangan orang kurang upaya (OKU) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah di sini menganggap Ramadan kali ini berbeza dan tidak seperti sebelumnya dengan sambutan yang suram.
Zulkifli Ainul Mokhsein, 36, yang bisu, pekak dan menghidap barah limfoma tahap empat berkata, ini kerana mereka tidak mampu melakukan sebarang persiapan untuk Ramadan kerana dia sudah tidak bekerja.
Walaupun bulan puasa akan bermula pada Khamis, perkara utama yang difikirkan Zulkifli Ainul ketika ini adalah barang keperluan dapur yang biasanya hanya mampu bertahan tiga hingga empat hari.
Dia berkata, sudah banyak cabaran diharungi sepanjang diuji dengan penyakit itu antaranya terpaksa berhenti berniaga sate hingga gagal menyara keluarga dan kesan kemoterapi serta pinggangnya lemah.
Malah katanya, walaupun menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berjumlah RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450, namun masih tidak mencukupi.
"Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, saya tiada sumber pendapatan lain malah perancangan isteri yang juga OKU pendengaran dan bisu, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 30, untuk bekerja juga gagal kerana perlu menjaga tiga anak kami.
"Masalah terputus bekalan makanan bukan perkara baharu bagi kami dan kadang-kala kami hanya berkongsi dua bungkus nasi bajet," katanya kepada pemberita yang berkomunikasi menerusi aplikasi WhasApp.
Walaupun begitu, Zulkifli berharap ada keajaiban untuknya sembuh supaya dapat menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Menceritakan keadaannya, bapa kepada tiga cahaya mata berusia tujuh, empat dan dua tahun itu memberitahu, sudah hampir 40 kali menjalani kemoterapi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
"Sel barah saya dari bahagian dada kini didapati masih aktif dan merebak hampir hingga ke seluruh badan dan hanya Allah saja tahu jangka hayat saya. Saya diuji dengan barah limfoma tahap empat dan dalam tempoh lima tahun, sel kanser saya berulang-kali aktif.
"Doktor yang mengesahkan sel barah saya sudah merebak hampir ke seluruh tubuh itu menasihati untuk menjalani rawatan radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak 20 kali mulai akhir bulan ini," katanya.
Dia hanya berserah kepada tuhan dan ikhtiar menjalani rawatan radioterapi demi isteri serta tiga anaknya itu.
"Saya dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN) seminggu lalu bagi menjalani Positron Emission Tomography (PET Scan) dan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) bagi pemeriksaan seluruh tubuh," ujarnya.
Dia mengakui memerlukan wang bagi menampung kos berulang-alik ke hospital untuk menjalani radioterapi.
"Saya tidak tahu sampai bila saya dapat melawan situasi seumpama itu, namun saya tidak mahu berputus asa kerana isteri dan anak hanya memiliki saya sebagai tempat bergantung," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya bernombor 101280031978 atau hubungi 013-742 8343.