Ringgit kekal lebih tinggi berbanding dolar AS

Ringgit mengekalkan aliran meningkat berbanding dolar AS semasa awal dagangan hari ini. - Foto hiasan
Ringgit mengekalkan aliran meningkat berbanding dolar AS semasa awal dagangan hari ini. - Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT mengekalkan aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan hari ini berikutan kebimbangan yang bertambah terhadap perkembangan ekonomi global yang menyaksikan lebih banyak pelabur beralih daripada mata wang selamat, menurut peniaga.

Pada jam 9.15 pagi, mata wang tempatan menokok kepada 4.4680/4710 berbanding dolar AS daripada 4.4690/4715 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dolar AS merosot berbanding ringgit pada Selasa, menjelang pemantauan rapat terhadap keputusan kadar faedah AS.

"Pasaran agak berbelah bagi berhubung perkara yang dijangka dilakukan Rizab Persekutuan AS (Fed) esok. Satu kemungkinan adalah kenaikan kadar faedah berikutan inflasi yang tinggi dan pengangguran yang rendah.

"Bagaimanapun, satu daripada isu berikutan pendirian ini adalah dapat menambahkan lagi tekanan terhadap sektor perbankan, dan krisis keyakinan terhadap bank berkecenderungan menjadi lebih buruk berbanding inflasi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4590/4627 daripada 5.4759/4789 sewaktu ditutup semalam, menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3736/3761 daripada 3.3807/3829, namun merosot berbanding euro kepada 4.8111/8144 daripada 4.8028/8055 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.9425/9575 daripada 13.0166/0311 pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3418/3446 daripada 3.3423/3444, namun tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 291.10/291.50 dan berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.22. - Bernama