Rakyat berhak dapat perkhidmatan terbaik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JAMINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi perhatian berkaitan isu Touch ‘n Go yang dikaitkan dengan masalah monopoli amat ditunggu oleh rakyat di negara ini.

Sejarah perkhidmatan itu bermula apabila dilancarkan secara rasmi pada 18 Mac 1997 di Plaza Tol Jalan Pahang dan Plaza Tol Jalan Cheras.

Kemudian, pada 15 April 1997, kemudahan tersebut disediakan di Plaza Tol Salak dan Plaza Tol Bandar Tun Razak.

PLUS Expressways Berhad memperluaskan kemudahan tersebut di kesemua 65 plaza tol sepanjang lebuh raya 848 kilometer kendalian syarikat berkenaan pada 15 November 1998.

Selepas 26 tahun, daripada sistem pembayaran menerusi kad, Touch 'n Go diperluaskan dengan penggunaan Smart Tag dan juga RFID.

Bagaimanapun, setiap hari ada sahaja masalah teknikal yang berlaku menyebabkan berlaku kesesakan di pondok tol.

Mungkin itu menjadi punca masih ramai pengguna lebih selesa menggunakan kad sahaja berbanding kedua-dua kaedah berkenaan.

Namun, tidak dinafikan ada juga kesilapan dipihak pengguna seperti tidak menukar bateri baharu atau tidak mempunyai baki mencukupi sehingga menjadi penyumbang kepada kesesakan.

Namun akhbar ini tertarik dengan perbahasan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika Sidang Dewan Rakyat pada Selasa, yang mengatakan masalah kesesakan jalan raya dan ketidakcekapan pengurusan tol menjadi salah satu sebab rakyat di negara ini semakin tertekan.

Justeru, tidak hairanlah ada seorang pemuda bangkit untuk bertanyakan sendiri kepada Perdana Menteri mengenai isu monopoli Touch ‘n Go ketika Majlis Temu Anwar pada Ahad.

Isu yang dibangkitkan rakyat ini sepatutnya menjadi 'Wake Up Call' kepada syarikat tersebut untuk memastikan perkhidmatan mereka berada pada tahap terbaik kerana Touch ‘n Go bukan baharu dalam bidang tersebut.

Syarikat tersebut masih boleh menarik nafas lega kerana dalam masa yang sama kerajaan memberi jaminan dan tidak berhasrat pun untuk menghentikan perkhidmatan mereka, tetapi beberapa langkah alternatif sedang difikirkan bagi memastikan rakyat ada pilihan lain.

Jadi, Touch ‘n Go perlu menganggap perkara ini sebagai satu teguran positif demi untuk memastikan kepentingan pengguna terbela dan rakyat berhak untuk dapatkan perkhidmatan terbaik.