Polis sahkan mayat lelaki

Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Isnin lalu. Foto: IHSAN PEMBACA
Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Isnin lalu. Foto: IHSAN PEMBACA
A
A
A
PELABUHAN KLANG – Mayat dipercayai mangsa bunuh ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, di sini, Isnin lalu disahkan seorang lelaki.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, mayat lelaki berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan selimut tebal dan diikat.

Katanya, mayat berkenaan ditemui seorang lelaki sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Mayat dalam keadaan dibungkus menggunakan toto dan dipercayai dihanyutkan ke jeti Kampung Sungai Sireh.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor yang dipanggil ke lokasi kejadian mendapati mayat itu dipercayai sudah berada dalam air dalam tempoh lebih seminggu,” katanya.

Kata beliau, punca kematian juga tidak dapat dipastikan berikutan badan lelaki berkenaan sudah reput.

“Mangsa merupakan rakyat tempatan berdasarkan terdapat parut suntikan BCG pada bahu lelaki terbabit. Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.

“Hasil semakan, mangsa mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, kes penipuan, judi dan juga tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel Berkaitan:


“Polis memohon orang awam yang kehilangan atau tidak dapat menghubungi mana-mana ahli keluarga mereka untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.