Pantau penceramah, pastikan dapat tauliah - Raja Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin
Tuanku Syed Sirajuddin
A
A
A

KANGAR - Pihak berkuasa agama Islam negeri Perlis perlu memantau dan memastikan setiap penceramah di negeri ini mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran, siasatan dan tindakan undang undang perlu diambil terhadap penganjur dan juga penceramah bagi mengelakkan kesalahan tersebut berulang lagi.

"Antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh seluruh rakyat yang Beta kasihi adalah kewajipan penceramah agama Islam mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam selaras dengan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis (EPAI) 2006.

"Kegagalan mematuhi perkara ini tertakluk kepada Seksyen 110 EPAI berkaitan kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah dan Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991," titah baginda dalam satu titah rasmi pada Selasa.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi dengan taat dan ikhlas segala dasar dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama lslam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda juga bertitah agar semua pihak turut merujuk agensi-agensi agama Islam negeri Perlis seperti JMNPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs).

"Besarlah harapan Beta agar segala yang dizahirkan dalam titah inidiberikan perhatian dan ditaati oleh seluruh rakyat yang Beta kasihi.

"Adalah Beta tegaskan bahawa perkara-perkara ini juga perlu dilaksanakan oleh semua pihak sama ada agensi kerajaan negeri atau persekutuan, badan swasta dan orang perseorangan," titah baginda lagi.