Pelakon Hong Kong usia 72 tahun pindah harta pada kekasih muda

Aktor Hong Kong, Lee Lung Kei sudah memindahkan nama kesemua tujuh harta yang dimiliki kepada kekasihnya yang berusia 36 tahun, Chris Wong. - Foto Instagram/Chris Wong
Aktor Hong Kong, Lee Lung Kei sudah memindahkan nama kesemua tujuh harta yang dimiliki kepada kekasihnya yang berusia 36 tahun, Chris Wong. - Foto Instagram/Chris Wong
A
A
A

SEKALIPUN belum lagi mengikat tali pernikahan, namun, aktor popular Hong Kong, Lee Lung Kei sudah awal-awal lagi membuat persiapan untuk memastikan masa depan bakal isterinya terjamin selepas berkahwin kelak.

Lung Kei, 72, mendedahkan, dia sudah memindahkan nama kesemua tujuh harta yang dimiliki kepada kekasihnya yang berusia 36 tahun, Chris Wong.

Sekalipun perbezaan usia mereka sangat signifikan, namun, hubungan Lung Kei dan Chris Wong berada di kedudukan yang sangat kukuh sejak empat tahun lalu.

Sementara pada Februari lalu, Lung Kei mula bercakap mengenai hasratnya untuk mengahwini Chris Wong tahun ini.

Bagaimanapun, kata Lung Kei, dia perlu meminta keizinan daripada ibu dan bapa Chris Wong selain mengadakan perbincangan mengenai tarikh perkahwinan serta wang hantaran.

Dalam masa sama, dia memberi bayangan acara pernikahan itu kelak akan diadakan dalam suasana serba sederhana.

"Sekiranya semua berjalan lancar, perkahwinan kami akan berlangsung tahun ini juga dan saya mahu adakan (majlis) secara sederhana. Tidak akan ada majlis besar-besaran. Saya hanya akan undang beberapa teman sahaja untuk makan bersama,” kata Lung Kei mengenai hasratnya itu.

Percintaan Lung Kei dan Chris Wong dilabel media tempatan sebagai ‘hubungan datuk dan cucu’ berikutan perbezaan 36 tahun antara kedua-dua mereka.

Kepada Lung Kei, perbezaan usia yang besar tidak memberi sebarang halangan buat mereka untuk mengatur hubungan cinta, apa lagi dia dan kekasihnya sentiasa bekerjasama dalam pelbagai aspek.

“Jika kami tidak melakukan kerjasama, bagaimana dia mampu menangani (hubungan) ini sedangkan dia masih muda. Sepanjang empat tahun bercinta, belum pernah sekali kami membuat keputusan untuk berpisah,” ujar Lung Kei.

Lelaki itu juga mempunyai empat orang anak hasil daripada perkahwinan pertamanya dan mereka jauh lebih berusia berbanding Chris Wong. - Awani