Perak terkilan jawapan kementerian isu jalan raya Timur-Barat

Saarani (dua dari kiri) menyampaikan Insentif Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin sempena Kolokium Kerajaan Tempatan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Saarani (dua dari kiri) menyampaikan Insentif Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin sempena Kolokium Kerajaan Tempatan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan Kementerian Kerja Raya bahawa tiada permohanan dikemukakan bagi menaik taraf jalan raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan tahun lalu malah menteri ketika itu turut turun padang melihat keadaan jalan berkenaan.

Menurutnya, amat tidak wajar Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menjawab di Parlimen bahawa kementerian itu tidak menerima sebarang permohonan menaik taraf laluan tersebut.

"Katanya kerajaan negeri tidak memohon. Jadi orang ramai melihat macam kerajaan negeri tak bertanggungjawab, kerajaan negeri tak prihatin, kerajaan negeri tak buat kerja. Tak adil untuk kerajaan negeri sebab kita dah buat kerja kita dah sebelum itu.

"Orang beranggapan apa yang dia jawab itu betul, jadi di peringkat kerajaan negeri kita rasa sangat terkilan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kolokium Kerajaan Tempatan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Saarani berkata, permohonan peruntukan yang dikemukakan bagi tujuan naik taraf jalan tersebut bernilai RM80 juta memandangkan laluan tersebut merupakan Jalan Persekutuan yang sepatutnya diambil maklum oleh kementerian menerusi laporan Jabatan Kerja Raya Perak.

Menurutnya, selain itu permohonan sama turut dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan sebelum pembentangan belanjawan Februari lalu.

"Jadi kalau kata tak boleh lulus, cakap sahaja tak boleh lulus. Jangan kata kerajaan negeri tak buat kerja, Itu yang kita tak setuju. Kita faham ada kekangan peruntukan kerajaan Persekutuan, tapi cara memberi jawapan itu yang kita tak setuju.

"Kalau (media) nak highlight pun highlight, tak apalah, sekurang-kurangnya timbalan menteri yang berkenaan dalam masa penggulungan nanti dia perbetullah kenyataan itu," katanya.

Saarani pada Jun tahun lalu telah turun padang bersama Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk melihat kerosakan teruk di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya berkenaan.

Penggantian struktur laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan bernilai RM80 juta antara perkara yang dibincangkan delegasi kerajaan negeri Perak bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari lalu.

Masalah tersebut dibangkitkan dalam pertemuan tersebut memandangka ia perlu tindakan segerakan kerana keadaan laluan tersebut meresahkan rakyat terutama yang menggunakan jalan tersebut.

Pada 28 Februari lalu, Abdul Rahman ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menjelaskan semakan kementerian tersebut mendapati tiada permohonan naik taraf jalan berkenaan diterima daripada kerajaan negeri Kelantan, Perak dan Kedah pada rolling plan ketiga Rancangan Malaysia ke-12.