Sasaran Sukan SEA perlu realistik bukan 'syok sendiri'

Mohd Nasir - Foto Bernama
Mohd Nasir - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali mengingatkan persatuan sukan yang terlibat dengan temasya berkenaan untuk meletakkan sasaran pingat yang realistik.

Beliau berkata, sasaran pingat yang diberikan kepada pihaknya perlulah sesuatu yang boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet, bukannya sasaran yang ‘syok sendiri’ atau sekadar untuk memuaskan mana-mana pihak.

Berikutan itu, beliau berkata, satu perjumpaan khas akan diadakan dengan semua persatuan sukan yang terlibat dalam Sukan SEA pada pertengahan April, bagi menentukan jumlah sasaran pingat kontinjen Malaysia pada temasya yang bakal berlangsung di Phnom Penh bermula 5-17 Mei ini.

"Kita akan menentukan sasaran ketika mesyuarat itu, yang turut akan disertai oleh wakil persatuan sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara. Kita bertekad untuk memastikan pencapaian lebih baik daripada Hanoi, kerana ketika itu kita baru keluar daripada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), mungkin keadaan kurang selesa.

"Kita tidak boleh berada dalam zon selesa, kena berusaha. Kadang-kadang mereka mampu, tapi tiada semangat, jadi kena beri tekanan (untuk perbaiki pencapaian),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan skuad lari berhalangan di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka menilai semula sasaran 10 emas yang diumumkan sebelum ini selepas pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak dapat menyertai temasya kali ini.

"Memang kita dapat tahu Azeem tidak dapat balik dari Amerika Syarikat, manakala dalam kejohanan baru-baru ini, ada atlet yang tidak dapat menonjolkan masa yang lebih baik, tetapi kita masih meletakkan tumpuan,” katanya.

Pada Sukan SEA 2021 Hanoi yang diadakan pada Mei lepas setelah ditangguh setahun kerana pandemik Covid-19, Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Sementara itu, beliau berkata, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan meneruskan ujian, terutamanya bagi sukan-sukan yang berisiko menjelang temasya itu.

Mengulas mengenai persediaan skuad lari berhalangan, beliau berharap pasukan yang bakal diwakili oleh empat atlet lelaki dan empat atlet wanita itu mampu membawa pulang sekurang-kurangya satu emas dari Kemboja selepas berjaya meraih tiga perak dan satu gangsa dari edisi 2019 Filipina.

"Sukan ini tidak dipertandingkan di Hanoi, sebelum itu mereka mampu memberi cabaran apabila kita kehilangan emas dalam perbezaan setengah saat sahaja. Jadi peluang untuk emas agak tinggi walaupun Filipina dijangka memberikan saingan sengit,” katanya. - Bernama