PRN: Pembahagian kerusi akan dimuktamadkan segera - Anwar

Anwar (duduk dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
Anwar (duduk dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pembahagian kerusi membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan segera.

Anwar menjelaskan perbincangan itu masih diteruskan oleh jawatankuasa yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

"(Agihan kerusi PRN) dalam proses... akan dimuktamad dalam masa singkat.

"Kemajuan baik. Tapi kita tak bincang perincian (dalam mesyuarat malam ini) sebab ada jawatankuasa yang terlibat akan berbincang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Mesyuarat kali kedua itu turut dihadiri pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu turut hadir, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.