KPM agih 50,000 komputer riba

Phkaruddin (kanan) beramah mesra bersama murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, pada Ahad.
Phkaruddin (kanan) beramah mesra bersama murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mengagihkan 50,000 komputer riba di sekolah seluruh negara bagi tujuan pembelajaran buku teks digital.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pengagihan akan dilaksanakan mengikut peruntukan dan formula yang dibincangkan di peringkat kementerian.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak lebih 70 peratus buku teks digital dihasilkan untuk manfaat pelajar sejak diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

"Penggunaan buku teks digital perlu disokong dengan komputer, komputer riba atau telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemantauan Pengoperasian Minggu Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2023/2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini pada Ahad.

Pkharuddin memberitahu, internet juga antara perkara utama pembelajaran buku teks digital dan kita masih berusaha memastikan peranti mencukupi untuk dibekalkan ke sekolah.

"Sebenarnya bahan-bahan video dan contoh buku digital sudah disediakan dan boleh dimuat naik.

"Kita sedang bergerak ke arah melaksanakan dasar pedidikan secara digital secara keseluruhannya tidak lama lagi sekiranya diluluskan di peringkat Jemaah Menteri," katanya.

Sementara itu, Pkharuddin memberitahu, minggu pertama persekolahan akan menjadi penentu kepada pembentukan adab, akhlak dan motivasi pelajar.

"Aktiviti dan amalan baik yang menyeronokkan pada awal pembukaan sekolah akan mempengaruhi pembentukan insaniah dalam jangka panjang," katanya.

Seramai 280,942 pelajar melibatkan 595 sekolah di Kelantan memulakan sesi akademik 2023/2024.

Phkaruddin (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan beg kepada murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, pada Ahad.
Phkaruddin (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan beg kepada murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, pada Ahad.


Usaha tangani kekurangan guru empat mata pelajaran

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menangani isu kekurangan guru melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk pengambilan guru melalui beberapa cadangan.

Beliau berkata, KPM juga akan melaksanakan proses pengambilan dan membuat tawaran kepada guru yang berjaya secara berfasa.

"Kekurangan guru yang sedang dihadapi akan ditangani peringkat demi peringkat tetapi tidak dapat diselesaikan dalam tempoh setahun," katanya.

Tambah beliau, mungkin dua atau tiga tahun perkara itu akan kembali normal selepas pengambilan guru di Institut Pendidikan Guru selain bekerjasama dengan pihak universiti awam untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam pelajaran terlibat.

Berkaitan takwim persekolahan yang dicadang diubah kepada asal, Pkaruddin memberitahu, takwim berkenaan perlu mengambil kira jumlah hari persekolahan selama 190 hari setahun mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)

Bagaimanapun, menurut beliau, ada kelebihan apabila dikekalkan pada bulan Februari atau Mac kerana mungkin Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia boleh dielakkan pada musim Monsun Timur Laut.

"Tempoh menunggu untuk mendapat keputusan peperiksaan dan memasuki institusi pengajian tinggi atau pusat latihan tidak terlalu panjang sekali gus mengelakkan pembaziran waktu.

"Kita memahami hasrat masyarakat dan ibu bapa dan mungkin sebahagian daripada guru yang mahukan suasana pembelajaran bermula pada Januari," katanya.

Tambah beliau, kementerian tetap berusaha untuk melihat ruang dan peluang dengan mengambil sedikit masa atau mengorbankan cuti supaya dapat kembali kepada takwim asal.

Bercakap mengenai waktu persekolahan, Pkaruddin memberitahu, waktu yang ditetapkan untuk masa persekolahan sudah disesuaikan dengan aktiviti yang berlaku di sekolah.

"Paling penting isu keselamatan pelajar dan mereka berada dalam kawasan sekolah ketika sesi pembelajaran," katanya.