Sidang DUN: Johor ikrar bantu 85,000 mangsa banjir

Onn Hafiz ketika menjawab sesi soalan lisan pada persidangan DUN Johor, di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.
Onn Hafiz ketika menjawab sesi soalan lisan pada persidangan DUN Johor, di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 85,000 mangsa banjir di Johor akan dibantu kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap mangsa bencana banjir besar yang melanda sejak 1 Mac lalu.

"Bermula 28 Februari lalu, hujan luar biasa turun, sehingga Johor diuji dengan ujian yang cukup besar di mana lebih 85,000 orang rakyat Johor yang menjadi mangsa bencana banjir antara terburuk pernah dihadapi.

"Mangsa banjir mengalami kerosakan harta benda, kereta, perabot, jalan raya, kebun dan ladang, malah ada yang terkorban. Bayangkan, bagaimana agaknya perasaan ibu bapa yang terpaksa membuat persiapan dalam serba kekurangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah hari ini.

"Bayangkan, juga bagaimana perasaan mereka mahu menyambut Ramadan apabila harta-benda dan kediaman mereka musnah akibat ditenggelami air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada persidangan DUN Johor, di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung bertanyakan soalan mengenai pelan kerajaan negeri bagi menangani bencana banjir.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan ucapan menjunjung kasih terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang mencemar duli menziarahi mangsa banjir.

Katanya, baginda Sultan Johor turut menyumbang tenaga, wang ringgit dan aset semasa proses pemindahan mangsa banjir.

"Kerajaan Johor menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana telah mengurniakan 26,000 unit khemah bencana melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada seluruh daerah sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Menjunjung kasih juga kepada baginda kerana menggerakkan tiga aset 'AirBoat' berkuasa tinggi untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap," katanya.


Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir akan dibentuk

Johor bakal menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir yang akan dibentuk pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Onn Hafiz berkata jawatankuasa itu akan dianggotai ahli DUN Johor merentasi parti politik.

"Kerajaan Negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir semasa sidang DUN ini, mengikut Fasal 32(8) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Johor.

"Diharapkan semoga rundingan ini akan disokong sebulat suara oleh semua ahli DUN," katanya.

Sebelum itu, Liow Cai Tung (Johor Jaya-DAP) mengemukakan soalan mengenai jangka masa keberkesanan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang dan akan dibangunkan di negeri ini.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap menjelaskan RTB sudah, sedang akan dilaksanakan dengan tempoh keberkesanannya dianggarkan dalam tempoh 50 tahun.

"Jika kita tengok tempoh masa masa RTB itu, saya risau sebenarnya sama ada ia mencukupi menebat banjir dalam tempoh panjang.

"Ini kerana bencana banjir besar baru-baru ini disebabkan hujan luar biasa dengan sehari hujan bersamaan taburan hujan untuk sebulan.

"Itulah sebabnya kerajaan Johor cadangkan jawatankuasa perubahan iklim diwujudkan supaya kita dapat perhalusi projek RTB yang lebih berkesan yang dibangunkan di negara maju," katanya.