Giliran NGO beri keterangan pada Isnin

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menghubungi salah seorang daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) program himpunan Jom Ziarah Gereja yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, meskipun program tersebut telah dibatalkan penganjurannya, namun seorang daripada NGO terlibat telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata, individu tersebut telah memberi akur janji untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin untuk membolehkan keterangan diambil.

"Sebaik sahaja kertas siasatan dapat dilengkapkan, kita akan merujuk kes ini kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Pihak penganjur sudah memberi keterangannya kepada pihak polis, kini giliran salah seorang NGO perhimpunan tersebut diambil keterangan di IPD Sentul pada Isnin.

"Diharap dia akan memberi kerjasama untuk kita menjalankan siasatan lanjut," katanya kepada pihak media pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre, dekat sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan perhimpunan dan perarakan LGBT yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac, Azmi berkata, pihaknya masih dalam usaha melengkapkan siasatan.

Kata beliau, beberapa keterangan telah diambil dan tujuh individu telah dipanggil bagi merekod percakapan mereka.

Beliau berkata, jika tiada sebarang halangan, pihak polis mensasarkan untuk merujuk kertas siasatan kepada pejabat TPR pada Selasa.

Azmi (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai dalam Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre, di Kuala Lumpur pada Ahad.
Azmi (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai dalam Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre, di Kuala Lumpur pada Ahad.

Susulan peringatan dan amaran keras Ketua Polis Negara supaya isu agama dan sensitiviti kaum tidak disentuh, Azmi berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sehabis tegas kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi berhubung perkara penting tersebut.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan membiarkan ibu kota dan warganya termasuk di Putrajaya diganggu gugat berhubung isu keselamatan serta ketenteraman awam.

"Apa yang pasti, polis Kuala Lumpur tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan perkara seumpama ini.

"Selain itu, kita sangat berharap agar masyarakat dan orang ramai akan terus bersama-sama PDRM untuk menjaga kesejahteraan serta ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan kes 13 naskhah al-Quran dibuang di dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, Azmi berkata, sebanyak 14 rakaman percakapan direkodkan sehingga ini.

Kata beliau, rakaman percakapan itu melibatkan tiga penerbit dan tiga pihak pencetakan al-Quran.

Namun begitu katanya, dia berasa sedikit dukacita untuk memaklumkan bahawa pihak polis masih belum mengetahui punca sebenar al-Quran itu dari mana, siapa pencetak dan penerbitnya.

"Kita masih berusaha mengenal pasti dan mengesan pihak terlibat yang membuang al-Quran secara tidak berhemah ini," katanya.

Habis...