Banyak perubahan drastik dalam setahun, kata Mat Sabu

Mohamad ketika sidang media di kementeriannya, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
Mohamad ketika sidang media di kementeriannya, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan telah melakukan banyak pembaharuan dan perubahan drastik dalam tempoh setahun PH mengemudi kerajaan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, lebih banyak inisiatif juga bakal dilaksanakan pada masa akan datang yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, antara kejayaan utama yang dicatatkan Kementerian Pertahanan ialah telah mengarahkan penyiasatan terhadap projek-projek serta perolehan aset bernilai tinggi yang mencurigakan.

Katanya, hal ini bertujuan menjadikan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian pertama disiasat oleh Jawatankuasa Tadbir Urus yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

“Selepas enam bulan siasatannya telah siap iaitu hal ‘land swap’ baru bukan semua dan telah pun dibincang di peringkat Kabinet dan juga Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Kabinet telah bersetuju supaya laporan itu diedarkan kepada orang ramai tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di kementeriannya, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan juga telah bertindak menarik balik penglibatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam coalition yang diketuai oleh Arab Saudi dalam peperangan mereka dengan Yaman.

“Dasar Malaysia ialah kita terus dengan dasar berkecuali, kecuali kita di bawah PBB kita boleh pertimbang kalau ada permohonan daripada PBB untuk menghantar tentera kita seperti tentera kita sedang berada di Lubnan sekarang ini.

“Kementerian Pertahanan mempertahankan dasar Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang tidak berpihak kepada mana-mana kepentingan politik kuasa besar dunia, sekali gus menyelamatkan Malaysia daripada tersepit dalam konflik Asia Barat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga berjaya mengaktifkan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) bagi membincangkan hal ehwal veteran ATM demi menjamin kebajikan dan kepentingan veteran ATM.

Katanya, MVK diwujudkan sejak 2012 namun tidak pernah bersidang sedangkan majlis ini dibentuk melalui akta.

“Selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, MVK yang dipengerusikan oleh saya sendiri telah mengadakan persidangan pertama pada 24 Disember 2018 dan kali kedua pada 28 Februari 2019," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga telah mengarahkan pemberhentian amalan pemberian dan pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera di kalangan ahli politik dan selebriti.

“Arahan ini dikeluarkan bagi menghormati jasa serta pengorbanan tentera yang telah bersusah payah berkhidmat dan mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan.

“Langkah Kementerian Pertahanan ini telah mendapat sokongan padu daripada Raja-raja dan Sultan Melayu yang menjadi penaung cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana penganugerahan ini boleh disalahgunakan," katanya.

Menurutnya, sekiranya orang awam berhasrat untuk memakai pangkat dan seragam ATM dibenarkan, tetapi dengan syarat mereka harus menyertai latihan ketenteraan melalui Rejimen Askar Wataniah bukannya dianugerahkan sewenang-wenangnya kepada orang-orang politik.

Presiden Amanah ini juga berkata, perolehan aset pertahanan dibuat mengikut keperluan dan bukan kepentingan ahli politik atau pihak tertentu.

"Ertinya, biarlah pakar dalam ATM menentukan jenis peralatan yang diperlukan kalau nak diperbaharui peralatan ataupun perolehan aset yang diperlukan ia bagi memastikan perolehan aset pertahanan ditentukan dengan mendapat pandangan dan nasihat kepimpinan ATM selaku pihak ‘end user’," ujarnya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak