Tuanku Zara berkenan rasmi program penghijauan Malaysia

Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan beramah mesra dengan Pasukan Pandu Puteri pada majlis Perasmian Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sempena sambutan 101 Tahun Pandu Puteri Perak di Pusat Latihan Perhutanan hari ini. - Foto Bernama
Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan beramah mesra dengan Pasukan Pandu Puteri pada majlis Perasmian Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sempena sambutan 101 Tahun Pandu Puteri Perak di Pusat Latihan Perhutanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan merasmikan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bersempena Sambutan 101 Tahun Pandu Puteri Perak di Pusat Latihan Perhutanan di sini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Perak.

Hadir sama isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubir serta Ketua Pesuruhjaya PPPM Cawangan Perak, Tee Huey Ghee.

Tuanku Zara yang juga Penaung Diraja PPPM Cawangan Perak turut berkenan menanam pokok cempaka atau nama saintifiknya 'magnolia champaca' pada majlis itu.

Sementara itu, Huey Ghee dalam ucapannya berkata pelaksanaan kempen penanaman 100 juta pokok itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.

"Kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di negara ini.

"Amatlah diharapkan agar program sebegini dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar bahawa usaha ini adalah untuk mengekalkan ekosistem dan penghijauan planet untuk diwariskan kepada generasi akan datang," katanya. - Bernama