Kedah sokong program 'Orang Kuat'

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin (kiri, berdiri) menyaksikan peserta mengangkat kereta pada 'Kedah Strongest Man & Woman 2023' di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, pada Sabtu.
Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin (kiri, berdiri) menyaksikan peserta mengangkat kereta pada 'Kedah Strongest Man & Woman 2023' di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyambut baik penganjuran pertandingan Kedah Strongest Man & Woman 2023 yang membantu mempromosi sektor pelancongan dalam negara termasuklah di negeri ini.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin berkata, sukan 'Orang Kuat' dilihat mempunyai tarikan tersendiri dengan kehadiran peserta dalam dan luar negeri.

Beliau berkata, peserta pertandingan ini bukan hanya dari negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, malah dari luar negara seperti Hong kong dan Brunei.

"Aktiviti sukan 'Orang Kuat' ini melibatkan rutin-rutin ekstrem, yang mana melibatkan angkatan bebanan yang berat dengan pertandingan 'World Strongest Man' pernah beberapa kali dianjurkan di Malaysia.

"Program sukan seperti ini secara tidak langsung dapat merancakkan aktiviti pelancongan negara," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan 'Kedah Strongest Man & Woman 2023' di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Penasihat Program Kedah Strongest Man & Woman 2023 merangkap Penyelaras Pusat Khidmat Dun Derga, Muhamad Amri Wahab dan Pengarah Program Kedah Strongest Man & Woman 2023,Mohammad Faizal Mohamad Najib.

Wan Romani berkata, Kedah memiliki banyak tempat menarik, malah kaya dengan pelbagai juadah makanan murah serta sedap.

"Sehubungan itu, peserta diharapkan mengambil peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Kedah," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap program sukan sedemikian dapat mewujudkan komuniti masyarakat yang sihat, cergas dan proaktif.

Wan Romani berkata, aktiviti sukan berkenaan memiliki banyak manfaat dalam membentuk peribadi masyarakat dan melahirkan modal insan berdaya saing.

Sebelum itu, Kedah Strongest Man & Woman 2023 dianjurkan Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga,Kelab Sukan Kecergasan Orang Kuat Negeri Kedah dan Persatuan Sukan Orang Kuat Negeri Kedah.