Program ziarah gereja perlu rujuk MAIPk

Saarani (kanan) bertemu perwakilan UMNO Bahagian Lenggong ketika hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini pada Sabtu.
Saarani (kanan) bertemu perwakilan UMNO Bahagian Lenggong ketika hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini pada Sabtu.
A
A
A

LENGGONG - Sebarang penganjuran aktiviti yang mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di Perak perlu merujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang isu dan perkara berbangkit melibatkan hal ehwal agama Islam akan dibincangkan oleh Jawatankuasa MAIPk.

Menurutnya, sebarang pekeliling dan arahan dikeluarkan oleh MAIPk mesti dipatuhi kerana keputusan muktamad dibuat dengan penelitian.

"Kita perlu patuh sebab di dalam MAIPk ini, kita ada mufti, ada ulama, ada pakar undang-undang syariah dan sivil. Jadi keputusan itu yang terbaik kerana dibuat oleh orang-orang yang berilmu dalam bidang agama Islam.

"MB (Menteri Besar) tak boleh dengan senang-senang keluarkan pekeliling," katanya kepada pemberita ketika ditemui hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong pada Sabtu.

Beliau demikian ketika diminta mengulas sama ada Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor yang melarang sama sekali penganjuran sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.

Pada Jumaat, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

Program berkenaan adalah inisiatif bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Inisiatif program dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Selasa lalu, Hannah ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program berkenaan tidak membabitkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.