Belum ada keputusan di Pahang - JAIP

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) belum membuat sebarang perbincangan secara menyeluruh berhubung isu penganjuran program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri ini.

Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali ketika ditanya sama ada Pahang akan mengikut jejak langkah Selangor berkata, ketetapan berhubung perkara itu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada jabatan mufti negeri untuk dimuktamadkan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

"Buat masa ini belum lagi diputuskan oleh jawatankuasa hukum syarak negeri dan akan merujuk perkara ini terlebih dulu dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

"Bila ada keputusan muktamad, kita akan maklumkan semula," kata beliau secara ringkas kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam laporan Sinar Harian pada Jumaat, program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata demikian merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik baru-baru ini berkenaan program 'Projek Artikel 11 Jom Ziarah' anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).