PBAPP, IWK bekerjasama kaji projek kitar semula air kumbahan

Pathmanathan (empat dari kanan) mewakili PBAPP dalam menandatangani MoU bersama IWK di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pathmanathan (empat dari kanan) mewakili PBAPP dalam menandatangani MoU bersama IWK di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengkaji aspek daya maju projek kitar semula air kumbahan di tiga lokasi strategik di negeri ini untuk kegunaan semula industri di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, selain itu, ia juga sebahagian daripada rancangan pihaknya untuk memastikan sekuriti bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030.

"Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Ibu Pejabat IWK Kuala Lumpur ini memeterai kerjasama antara PBAPP dan IWK untuk meneroka daya maju projek kitar semula air kumbahan terawat dari tiga loji rawatan kumbahan (STP) IWK sedia ada di Pulau Pinang yang kini dilepaskan ke laut.

“PBAPP membincangkan kemungkinan mengitar semula air untuk kegunaan semula industri dengan IWK pada April 2022. Sejak itu, kita telah mengenal pasti tiga STP yang terletak di Bayan Baru, GeorgeTown dan Mak Mandin untuk kajian mendalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, gabungan pelepasan air kumbahan terawat daripada tiga STP ini dianggarkan sebanyak 260 juta liter sehari (JLH). Sebagai perbandingan, 'output' air terawat dari sebuah modul rawatan air konvensional moden di Loji Rawatan Air Sungai Dua ialah 114 JLH.

“Oleh itu, potensi hasil daripada kitar semula air daripada tiga STP IWK ini boleh menyamai dengan 2.3 'output' rawatan air modul rawatan air konvensional di Sungai Dua. Tiga STP yang dikenalpasti dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu lokasi strategik, potensi hasil (isipadu output air kitar semula) dan kedekatan relatif dengan bakal pengguna kategori bukan domestik.

“Cabaran terbesar Pulau Pinang sekarang ini ialah kekurangan sumber air mentah kerana kita adalah negeri dengan keluasan tanah terhad seluas 1,049 kilometer persegi. Jika kita dapat mengitar semula 260 JLH air kumbahan terawat untuk kegunaan semula industri, kita akan meningkatkan kapasiti bekalan air maksimum PBAPP di Pulau Pinang sebanyak 260 JLH, per se," katanya.

Jelas beliau, cadangan kitar semula air tersebut mencerminkan komitmen PBAPP untuk merancang lebih awal demi kebaikan negeri dan rakyat.

"Jika ia berdaya maju, projek kitar semula air di Pulau Pinang akan menyokong pencapaian visi Penang2030 di samping mengurangkan lagi risiko kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan.

"PBAPP dan IWK akan mengesahkan daya maju projek kitar semula air yang dicadangkan di Pulau Pinang daripada sudut antaranya teknologi kitar semula air yang boleh digunakan, potensi kualiti air kitar semula, kos keseluruhan untuk mengitar semula air dan kerja-kerja pemasangan paip dan pam khusus yang berasingan untuk membolehkan bekalan air kitar semula kepada pengguna industri," katanya.

Pathmanathan berkata, terdapat STP lain yang lebih kecil yang perlu melalui kajian lanjut untuk aspek kejuruteraan dan daya maju kewangan.