Maritim Malaysia perlukan 700 anggota baharu isi kekosongan

Anggota Kawalan Kehormatan Utama Maritim Malaysia pada Istiadat Paluan Berundur Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som di Dataran Pahlawan Negara hari ini. - Foto Bernama
Anggota Kawalan Kehormatan Utama Maritim Malaysia pada Istiadat Paluan Berundur Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som di Dataran Pahlawan Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memerlukan lebih 700 anggota baharu, bagi mengisi kekosongan jawatan bagi memantapkan perkhidmatan dalam menjaga keselamatan perairan negara, kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksama Datuk Mohd Zubil Mat Som.

"Sekarang kita masih kekurangan lebih kurang 20 peratus daripada hampir 4,000 perjawatan yang diluluskan dan kita harap dapat diisi secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada majlis istiadat paluan berundur sempena persaraan beliau di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Mohd Zubil akan bersara wajib pada 19 Mac ini setelah berkhidmat selama 41 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk menerajui Maritim Malaysia sejak 19 Ogos 2019.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Datuk Saiful Lizan Ibrahim akan memangku tugas berkenaan.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia berdepan cabaran besar dalam menjaga keselamatan perairan negara, terutamanya berkaitan kes penyeludupan rokok dan pendatang tanpa izin.

"Kalau dulu kita lihat ancaman jenayah ‘tradisional’, tetapi sekarang ini kita lihat kes-kes penyeludupan rokok dan pendatang, turut berkait dengan pengubahan wang haram.

"Bukan itu sahaja, di belakang itu (kes penyeludupan), ada (sindiket) yang lebih besar tapi yang kita nampak hanya luaran sahaja dan itu yang perlu kita banteras,” katanya.

Justeru, Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia akan menghantar pegawainya untuk mempelajari undang-undang dan peraturan berkaitan pengubahan wang haram, untuk mengukuhkan pengetahuan berhubung kegiatan jenayah itu.

"Mereka yang berkelayakan bukan sekadar tangkap dan menuduh mengikut akta, tetapi akan mahir mengenal pasti aspek pembayaran dan pengubahan atau proses dalam aspek dikatakan pengubahan wang haram. Ini untuk membantu memudahkan dalam operasi serta siasatan kes,” katanya.

Dalam pada itu, semasa berucap, Mohd Zubil mengingatkan warga Maritim Malaysia terutamanya generasi muda dalam agensi berkenaan, supaya sentiasa berintegriti ketika melaksanakan tugas terutamanya di lapangan.

"Sekiranya isu intergriti tidak dibendung, ia akan memudaratkan kerana mereka yang terlibat disifatkan sebagai musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan.

"Ini kerana keselamatan negara telah dijual beli demi kepentingan diri sendiri,” katanya. - Bernama