Mangsa banjir berdepan masalah bau busuk air termenung

Keadaan banjir termenung yang berbau busuk di perkarangan rumah Rubiah di Kampung Sempadan Laut, Parit Raja. (Gambar kecil: Rubiah dan Hamidah)
Keadaan banjir termenung yang berbau busuk di perkarangan rumah Rubiah di Kampung Sempadan Laut, Parit Raja. (Gambar kecil: Rubiah dan Hamidah)
A
A
A

BATU PAHAT - Air banjir yang bertakung sejak lebih seminggu lalu di Kampung Parit Sempadan Laut, Parit Raja di sini, mengundang masalah bau busuk.

Keadaan air banjir termenung berwarna hitam itu menyebabkan penduduk bimbang situasi itu mampu mengundang penyakit kulit.

Rubiah Kahar, 60, berkata, keadaan banjir termenung menyebabkan dia tidak senang duduk memikirkan keadaan rumah selain terpaksa berdepan dengan air banjir yang berbau busuk.

"Rumah digenangi air sudah 10 hari. Saya amat terkejut melihat keadaan rumah, barang-barang semua rosak akibat banjir. Semua perkakasan dan peralatan elektrik berlumpur.

"Lebih menyedihkan, air banjir yang bertakung di halaman rumah mengeluarkan bau busuk. Memang tidak selesa hendak buat kerja-kerja pembersihan," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Perkara sama, turut diutarakan Wahid Abd Jalil, 74, yang mengatakan keadaan air terperangkap dan tidak mengalir sejak beberapa hari lalu mengakibatkan rumahnya diselubungi bau busuk.

Menurutnya, penduduk yang sebelum ini diuji dengan bencana banjir kini perlu berdepan isu bau busuk air banjir yang cukup memeritkan.

Sampah sarap di kawasan jambatan di Kampung Sempadan Laut menyebabkan air terperangkap dan berbau busuk.
Sampah sarap di kawasan jambatan di Kampung Sempadan Laut menyebabkan air terperangkap dan berbau busuk.

"Air banjir terperangkap dan tidak dapat mengalir menyebabkan bau busuk, ditambah dengan sampah dan pelepah sawit.

"Sistem saliran perlu diperbaiki memandangkan banyak parit di kawasan kampung yang bersambung antara satu sama lain. Sekiranya saliran air terperangkap maka ia akan jejaskan pengairan dan mengakibatkan banjir berlaku," katanya.

Bagi Hamidah Jaafar, 61, pula dia amat terkejut melihat peralatan rumah yang rosak akibat banjir ditambah keadaan air banjir termenung yang berbau.

"Menangis tengok banyak barang-barang yang rosak dan diselaputi lumpur. Selepas seminggu di pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini dibenarkan untuk tengok keadaan rumah.

"Tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah banjir termenung dan air busuk supaya penduduk dapat pulang segera ke rumah masing-masing," katanya.

Kebanyakan penduduk Kampung Sempadan Laut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Puding, Parit Raja susulan banjir yang melanda sejak 5 Mac lalu.



SH: Pam air digerakkan bantu banjir surut di Batu Pahat

Sementara itu, sebanyak 27 pam air kini beroperasi di daerah ini bagi mengurangkan paras air banjir seterusnya membantu mengatasi masalah banjir termenung khususnya di kawasan kritikal.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, tujuh daripada rumah pam itu adalah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor manakala bakinya dipinjam dari negeri lain termasuk Selangor, Pahang, Perlis dan Melaka.

"Sebanyak 27 rumah pam sedia ada mengepam air banjir supaya dapat kurangkan paras bah kepada 0.5 meter dalam tempoh seminggu.

"Ketika ini air banjir masih mengalir dan bergerak ke kawasan Sri Medan, Sri Gading dan Parit Raja," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Air banjir termenung yang dipam disalirkan ke kawasan sungai atau tali air yang mempunyai aliran air lancar di Batu Pahat.
Air banjir termenung yang dipam disalirkan ke kawasan sungai atau tali air yang mempunyai aliran air lancar di Batu Pahat.

Menurut Nasri, proses pengepaman air ini akan dilakukan sehingga setiap penempatan berkenaan didapati surut airnya sebelum dialihkan ke kawasan lain sekiranya diperlukan.

"Dijangka proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan air serta cuaca selain fenomena air pasang.

"Diharapkan langkah ini dapat membantu menyelesaikan masalah banjir termenung yang menjadi kebimbangan rakyat khasnya dan pihak kerajaan amnya," katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) fenomena banjir termenung kemungkinan berlaku dalam tempoh antara seminggu hingga dua minggu lagi.

Bah yang melanda Johor sejak 1 Mac lalu disifatkan antara banjir terburuk pernah dialami negeri ini selepas bencana sama pada 2006.

Angka terkini mangsa terjejas banjir di negeri ini membabitkan 37,635 orang daripada 10,544 keluarga yang ditempatkan di 115 PPS di empat daerah terjejas iaitu Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak.

Batu Pahat merekodkan angka mangsa banjir terbesar dengan 37,233 orang daripada 10,430 keluarga di 107 PPS.