Dua sekolah daif di Melaka akan diroboh, dibina semula

Persidangan DUN Melaka. - Foto fail Bernama
Persidangan DUN Melaka. - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Dua sekolah di Melaka yang dikategorikan sebagai sekolah daif akan diroboh dan dibina semula membabitkan peruntukan berjumlah RM10.8 juta, yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2023, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu pada Rabu.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu yang diperuntuk sebanyak RM9 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok sebanyak RM1.8 juta.

Beliau berkata, status kedua-dua sekolah itu disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai bangunan tidak selamat dan premis itu layak dipertimbang untuk mendapat peruntukan sekolah daif daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Ketiga.

"KPM memberi fokus terhadap sekolah daif dan sebanyak RM920.4 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara. Di Melaka, dua sekolah turut menerima sebahagian peruntukan berkenaan.

"Menerusi peruntukan itu, dua elemen akan diberi perhatian iaitu elemen utama meroboh dan membina semula kedua-dua sekolah berkenaan manakala elemen kedua pula penyediaan infrastruktur di sekolah terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) yang ingin tahu sama ada Melaka mempunyai sekolah daif dan mendapat manfaat daripada peruntukan Belanjawan 2023.

Rais berkata, bagi SK Sebatu, bangunan daif sekolah itu akan diroboh dan dibina semula selain bilik darjah baharu akan didirikan yang merangkumi empat bilik, sebuah bilik muzik, sebuah pejabat pentadbiran dan bilik guru berkapasiti 19 orang.

Beliau berkata, selain infrastruktur, peralatan dan kelengkapan sekolah berkenaan akan disediakan mengikut piawaian serta mesra orang kurang upaya (OKU).

"Bagi SJKC On Lok pula, bangunan daif yang diroboh akan dibina semula termasuk satu bengkel dan bilik pemulihan selain infrastruktur, peralatan dan kelangkapan sekolah mengikut piawaian dan mesra OKU bagi keselesaan dan keselamatan warga sekolah," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) yang diwakili Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) berkaitan perancangan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun bagi mengatasi masalah lebihan pelajar sekolah menengah, Rais berkata, Sekolah Menengah Agama (Ulul Albab) Alor Gajah di Sungai Baru Tengah, Ayer Limau akan dibina di bawah RMK-12 Rolling Plan Kedua.

Beliau berkata, penyerahan tapak projek berkeluasan 7.1 hektar itu dilakukan pada 2 Mac lepas dan dijangka siap pada 2027.

"Dengan adanya sekolah menengah agama ini, maka lengkaplah setiap daerah di Melaka mempunyai sekolah menengah agama yang akan memberi peluang kepada anak Melaka khususnya di Alor Gajah untuk mengambil aliran agama yang menjadi pilihan ibu bapa sekarang," katanya. - Bernama