Empat daerah di Johor masih terjejas banjir

Keadaan di salah satu PPS di Batu Pahat. - Foto Bomba Batu Pahat
Keadaan di salah satu PPS di Batu Pahat. - Foto Bomba Batu Pahat
A
A
A

JOHOR BAHRU – Empat daerah di Johor melibatkan Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat masih terjejas dengan bencana banjir setakat jam 8 pagi, Rabu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, seramai 36,086 mangsa banjir dari empat daerah itu masih ditempatkan di 116 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Katanya, Batu Pahat merekodkan paling ramai mangsa banjir iaitu 35,849 orang yang ditempatkan di 110 PPS, diikuti Muar (111 mangsa banjir di dua PPS), Segamat (102 mangsa banjir di tiga PPS) dan Tangkak (24 mangsa banjir di satu PPS) ketika ini.

“Setakat jam 8 pagi ini juga, tiada PPS baharu mahupun yang ditutup di empat daerah berkenaan.

Keadaan banjir di salah sebuah kampung di Batu Pahat. - Foto Media APM Johor
Keadaan banjir di salah sebuah kampung di Batu Pahat. - Foto Media APM Johor

“Selain itu, cuaca dilaporkan cerah di semua daerah selain tiada amaran ribut petir atau hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini,” katanya.

Untuk rekod, banjir yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu turut merekodkan lima kematian dengan empat daripadanya mati lemas sementara satu kes lagi akibat ditenggelami arus banjir.

Sementara itu, Azmi berkata, dua sungai di Batu Pahat melibatkan Sungai Bekok dan Sungai Senggarang dilaporkan berada pada paras bahaya biarpun menunjukkan trend penurunan setakat jam 8 pagi, pada Rabu.

“Berdasarkan pemerhatian kita, air Sungai Bekok berada pada paras 19.24 meter (m) berbanding aras bahaya 19.20m dan Sungai Senggarang berada pada paras 3.58m berbanding aras bahaya 3.50m.

“Selain itu, beberapa jalan di Batu Pahat, Kluang dan Kulai kini dibuka tetapi hanya untuk laluan kenderaan berat manakala ada jalan-jalan yang terpaksa ditutup kepada semua kenderaan berikutan banjir, cerun runtuh, sinkhole atau jambatan rosak,” katanya.