Penduduk lega pemanjangan operasi klinik kesihatan

Mohd Faiz (dua dari kiri) bersama isteri ketika membawa bayi mereka berusia tujuh bulan ke Klinik Kesihatan Peringgit, Melaka pada Selasa.
Mohd Faiz (dua dari kiri) bersama isteri ketika membawa bayi mereka berusia tujuh bulan ke Klinik Kesihatan Peringgit, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan di sini selepas waktu pejabat sehingga jam 9.30 malam disambut baik oleh orang ramai.

Malah perkara itu ternyata memberi kelegaan kepada rata-rata individu yang ditemui Sinar Harian di Klinik Kesihatan Peringgit yang menawarkan perkhidmatan selepas tamat waktu berkenaan.

Penyelia kilang, Mohd Faiz Shafinyi, 23, berkata, beliau datang ke klinik itu untuk mendapatkan rawatan anak sulungnya yang berusia tujuh bulan mengalami batuk berkahak.

Katanya, keadaan itu membimbangkannya selain tidak boleh menunggu hari lain kerana risau ia melarat.

"Apabila buka sampai malam ini legalah sikit, walaupun tidak dekat dengan rumah kerana saya tinggal di Padang Temu namun sangat membantu," katanya.

Seorang lagi penerima rawatan, pegawai khidmat pelanggan, Rika Amrin, 23, berkata, beliau datang ke klinik itu kerana mengalami demam.

"Cas yang dikenakan di klinik kerajaan ini murah iaitu RM1 sahaja sekali gus memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan untuk penyakit ringan," katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan Sinar Harian di lokasi pada jam 7 malam sehingga jam 8.30 malam mendapati beberapa individu sedang menunggu giliran masing-masing untuk mendapatkan rawatan.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemanjangan Waktu Operasi Selepas Waktu Pejabat di 52 klinik kesihatan di seluruh negara.

Menurut laman Facebook KKM, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital.