Banci ekonomi bolehkan kerajaan faham kedudukan - Rafizi

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Banci Ekonomi 2023 (BE2023) pada Selasa, bertujuan mengumpul maklumat pertubuhan bagi tahun rujukan 2022.

Banci ekonomi yang melibatkan pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Malaysia itu merangkumi semua sektor ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, data yang diperoleh melalui BE2023 akan membolehkan kerajaan mengukur reka bentuk masyarakat dan ekonomi di samping meneliti pecahan serta jenis perusahaan di negara ini.

"Ini kerana antara cabaran (dalam merangka dasar ekonomi akan datang) adalah jumlah perusahaan yang ada iaitu 95 peratus adalah mikro (75.2 peratus) dan kecil (20.5 peratus) di negara ini.

"Jadi kita (kerajaan) memerlukan penglibatan pertubuhan perniagaan untuk menyertai Banci Ekonomi 2023 bagi membolehkan kerajaan memahami kedudukan ekonomi sekarang, mengenal pasti sektor yang menyumbang, dan bentuk dan dasar serta insentif yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan syarikat atau perusahaan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan BE2023 di sini.

Beliau berkata, kerajaan mahu melihat keupayaan dan kapasiti perniagaan mikro dan kecil ditingkatkan kepada tahap sederhana dalam jangka masa sederhana dan panjang, agar perniagaan mikro dan kecil mampu menyertai rantaian nilai yang lebih tinggi dan ke peringkat antarabangsa atau eksport.

Rafizi berkata ini sekali gus membolehkan mereka menawarkan gaji yang lebih tinggi dan mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

"Jadi data dalam Banci Ekonomi 2023 ini penting supaya kita boleh menyusun langkah ke arah membina skala dan daya tahan syarikat kita supaya lebih banyak syarikat dapat berkembang lebih besar.

"Data ini akan membolehkan kerajaan berpandangan jauh untuk menetapkan panduan dan intervensi, serta perbelanjaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keseluruhan pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan termasuk perdagangan borong dan runcit akan diliputi secara serentak dalam BE2023 yang merupakan banci ekonomi kelima untuk mendapatkan angka asas dalam satu tempoh yang sama.

Beliau menganggarkan sejumlah 1,400 pegawai sambilan akan diambil bekerja di seluruh negara bagi menjalankan BE2023.

BE2023 bertemakan ‘Data Pemangkin Ekonomi Negara’ itu juga bertujuan menilai pencapaian Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) selain membantu kerajaan persekutuan dan negeri membuat perancangan strategik yang berkesan, katanya.

Banci ekonomi pertama telah dilakukan pada 2000, manakala yang terakhir pada 2016.

Beliau berkata banci ekonomi ini sepatutnya dijalankan pada 2021 tetapi ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19.