Hajat lihat anak jadi guru tidak kesampaian

Samsiah menyentuh keranda jenazah Saiful Asyraf sebaik tiba di pekarangan Maskargo KKIA, Kota Kinabalu.
Samsiah menyentuh keranda jenazah Saiful Asyraf sebaik tiba di pekarangan Maskargo KKIA, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jenazah pelatih guru yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Segamat, Johor, selamat tiba di Kota Kinabalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Brunei di Membakut, pada Selasa.

Jenazah Saiful Asyraf Mukhtar Saiful Khair, 21, tiba di pekarangan Maskargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 11 pagi disambut ahli keluarganya termasuk bapa serta neneknya.

Bapanya, Saiful Khair Mohd Sampon, 47, ketika ditemui pemberita mengakui harapan untuk melihat anak sulungnya itu menjadi guru tidak kesampaian.

"Memang rasa kehilangan, bukan saya saja tetapi seluruh ahli keluarga dan rakan yang mengenalinya.

Saiful Khair ketika ditemui pemberita semasa menunggu ketibaan jenazah anaknya, Saiful Ashraf di pekarangan Maskargo KKIA, Kota Kinabalu.
Saiful Khair ketika ditemui pemberita semasa menunggu ketibaan jenazah anaknya, Saiful Ashraf di pekarangan Maskargo KKIA, Kota Kinabalu.

"Sepatutnya arwah menjadi guru kerana dia seorang yang bersemangat untuk memilih kerjaya itu selain gemar dengan kanak-kanak tetapi tidak kesampaian hajatnya," katanya ketika menunggu ketibaan jenazah di pekarangan Maskargo KKIA, di sini, pada Selasa.

Bercerita lanjut, Saiful Khair memaklumkan Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda akan meninggalkannya sebaliknya mereka berbual seperti biasa ketika berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Kali terakhir saya berhubung dengannya dua hari sebelum arwah meninggal dan kami berbual seperti biasa.

"Bagaimanapun, pada hari kejadian (Ahad), saya menerima panggilan telefon daripada Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi yang menyatakan bahawa arwah ditimpa kemalangan dan selepas kira-kira 40 minit kemudian disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, neneknya, Samsiah Baharon, 69, menyatakan rasa terkilan kerana hanya dapat 'menyambut' jenazah Allahyarham Saiful Asyraf tiba untuk dikebumikan terus di kampung halaman di Membakut.

Jenazah Saiful Asyraf dimasukkan ke dalam van jenazah sebelum bergerak ke kampung halamannya di Membakut untuk urusan pengebumian.
Jenazah Saiful Asyraf dimasukkan ke dalam van jenazah sebelum bergerak ke kampung halamannya di Membakut untuk urusan pengebumian.

"Saya rasa terkilan kenapa saya tidak dapat berjumpa dengannya dalam keadaan dia hidup. Selepas mendengar berita dia dimasukkan ke Unit Kecemasan dan tidak lama kemudian saya dimaklumkan dia sudah tiada.

"Saya rasa kenapa jadi begini, bolehkah saya dapat panggilan telefon yang mengatakan bahawa Saiful Asyraf tidak jadi mati kerana dia dalam keadaan sihat. Namun sebagai orang Islam kita tidak boleh begitu (mempersoalkan) dan saya terima dengan reda," katanya.

Samsiah turut menyifatkan cucunya itu seorang yang baik hati dan banyak membantunya termasuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kebajikan di Tawau.

"Arwah memang rapat dengan saya sejak ibunya meninggal lima tahun lepas. Setiap kali cuti semester, dia akan pulang ke rumah saya di Tawau.

"Arwah juga seorang yang ceria, tidak cerewet dan taat selain baik serta hormat pada orang tua. Malah dia juga turut terlibat dalam aktiviti kebajikan persatuan orang buta di Tawau sejak berusia 18 tahun," katanya.