Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam renang

Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah hotel dekat Mentakab pada Isnin. (Gambar hiasan) - Foto123RF
Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah hotel dekat Mentakab pada Isnin. (Gambar hiasan) - Foto123RF
A
A
A

TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas dipercayai ketika mandi di kolam renang sebuah hotel dekat Mentakab di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mangsa ditemui di dasar kolam dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 6 petang daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan terdapat seorang pesakit meninggal dunia akibat lemas di kolam sebuah hotel di sini.

"Mangsa yang merupakan seorang anak tunggal telah dibawa ke kolam itu oleh teman lelaki ibunya bagi tujuan beriadah.

"Kira-kira jam 4.45 petang, mangsa pada mulanya mandi di kolam yang dikhaskan untuk kanak-kanak dan kemudiannya mandi di kawasan kolam renang dewasa.

"Mangsa mandi di dalam kolam tersebut yang berkedalaman dua meter dengan ditemani oleh lelaki tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azhar berkata, tidak lama selepas itu mangsa bersama lelaki berkenaan naik untuk berehat di tepi kolam.

"Selepas itu, lelaki berkenaan menyedari mangsa sudah tidak ada bersamanya dan meminta bantuan pengawal keselamatan hotel berkenaan untuk mencari mangsa.

"Pengawal keselamatan menjumpai mangsa di dasar kolam renang dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri, mangsa diangkat ke tepi kolam dan diberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, katanya, lelaki berkenaan turut dipanggil pihak polis untuk siasatan lanjut.