5 warga Indonesia ditahan terlibat kes samun bersenjata

Hussein (tengah) menunjukkan senjata yang digunakan oleh suspek.
Hussein (tengah) menunjukkan senjata yang digunakan oleh suspek.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lima warga Indonesia termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam tujuh kes pecah rumah dan samun bersenjata diberkas dalam Op Rantau pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 49 itu ditahan di sebuah flat di Sungai Besi pada jam 8.20 pagi hari yang sama.

Menurutnya, tangkapan kesemua suspek itu adalah hasil laporan daripada seorang ahli perniagaan yang mendakwa rumahnya di Sungai Long, Kajang, telah dipecah masuk pada jam 3 pagi hari yang sama.

"Mangsa berusia 36 tahun itu memaklumkan ketika kejadian dia dan ahli keluarganya sedang tidur.

"Tiga suspek telah memecah masuk rumah dan mengikat tangan dan kaki mangsa serta keluarga.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM2,000, dua telefon bimbit dan barang kemas yang telah dilarikan oleh suspek," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Hussein berkata, polis berjaya merampas semula sebahagian barang-barang milik mangsa dalam serbuan di flat tersebut.

"Polis turut merampas parang, kerambit, pakaian, sarung tangan yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek turut mengaku terlibat dalam tujuh kes samun bersenjata yang dilaporkan di daerah Kajang, Sepang dan Seremban, Negeri Sembilan.

"Suspek wanita itu dipercayai menjual barang kemas milik mangsa di kedai pajak gadai dan hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen kerana dipercayai kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki berada di negara ini secara tidak sah dengan memiliki permit yang telah tamat tempoh," katanya.