Cadang bangunkan terminal jeti baharu di Kuala Jerlun

Azhar
Azhar
A
A
A

ALOR SETAR - Kuala Jerlun atau Kuala Kerpan di Parlimen Jerlun berpotensi dibangunkan sebagai terminal jeti baharu untuk memasuki Pulau Langkawi.

Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) berkata, terminal baharu yang dicadangkan seharusnya dibangunkan di Kedah kerana Langkawi merupakan sebahagian daripada negeri ini.

Menurutnya, limpahan ekonomi yang dicetuskan daripada pintu masuk ke Langkawi seharusnya dinikmati oleh penduduk Kedah, bukannya Perlis.

“Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pernah cadangkan untuk bangunkan terminal jeti baharu di Kedah atau Perlis, diharap kerajaan negeri terus melobi agar ia dibina di Kedah.

"Malah saya tawarkan DUN saya di Kuala Jerlun atau Kuala Kerpan yang mana kedua-duanya sesuai dijadikan jeti atau pelabuhan,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Azhar berkata, kedua-dua lokasi berkenaan juga sesuai bagi menggantikan terminal sedia ada di Kuala Kedah, berikutan memiliki muara yang dalam.

“Ia boleh jadi alternatif terbaik sebab tidak lagi perlu lakukan proses pengerukan untuk mendalamkan muara setiap dua tahun yang menelan belanja RM50 juta sama ada di Kuala Kedah mahupun Kuala Perlis.

“Adalah lebih baik dana yang diperuntukkan untuk pengerukan dialihkan untuk bangunkan jeti baharu di situ, ia lebih bermanfaat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Kedah harus merebut peluang untuk membina tambahan jeti baharu bagi menampung keperluan pelancong yang sering terkandas akibat daripada muara cetek di kedua-dua pintu masuk sedia ada.

“Kekerapan feri merosot setiap kali berlaku air pasang surut menyebabkan muara tidak dapat dimasuki feri. Laluan menjadi sukar kerana muara cetek menyebabkan perjalanan lambat.

“Malah beberapa kali ditangguh atau dibatalkan perjalanan feri disebabkan tidak dapat melalui muara cetek,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit) bangun mencelah menyokong cadangan untuk membina terminal jeti baharu di negeri ini.

“Saya setuju, kita berhabis RM50 juta untuk korek muara, lebih baik bina terminal jeti atas tapak yang dibuat jauh ke laut sedikit untuk memastikan tidak perlu lagi lakukan pengerukkan namun biarlah kekal di Kuala Kedah, bukan di Kuala Jerlun,” katanya yang mengundang ketawa ahli-ahli DUN.

Azhar menyambut baik pandangan Amiruddin namun bertegas agar dibina sebuah lagi jeti baharu di Kuala Jerlun sebagai alternatif.

“Kita boleh perbanyakkan lagi kemudahan pelabuhan atau jeti, barulah ada saingan,” katanya.