'Kenyataan Muhyiddin cipta persepsi negatif terhadap Anwar'

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, Jumaat lalu didakwa mencipta persepsi negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan Muhyiddin turut menggambarkan seolah-olah terdapat campur tangan peringkat tertinggi yang memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu.

"Kenyataan yang dilemparkan itu adalah suatu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif tidak baik terhadap kepimpinan Anwar," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini pada Isnin.

Menurutnya, Anwar dalam beberapa siri kenyataan telah menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan.

"Tindakan yang dibawa pihak berkenaan untuk mendakwa mana-mana pihak sekiranya terdapat bukti jelas adalah berdasarkan fakta dan dapatan.

"Kita lihat pada 10 Mac lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan yang diambil itu adalah bebas tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak," katanya.

Justeru, beliau menggesa siasatan polis dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin adalah bersifat fitnah yang serius dan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja serta perlu ada tindakan tuntas oleh pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan yang dikeluarkan itu," katanya.

Jumaat lalu, Muhyiddin menerusi sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mendakwa enam pertuduhan ke atasnya merupakan satu bentuk pemangsaan politik terancang.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.