'Penjenayah takut, panik kereta dicuri milik PDRM'

Razarudin
Razarudin
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya menemui semula kenderaan milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh di Teluk Intan, semalam, selepas dilaporkan hilang dipercayai dicuri di Sungai Ramal, Kajang, Selangor, Khamis minggu lalu.

Kereta jenis Toyota Vellfire berwarna hitam itu ditemui di belakang sebuah bangunan sekitar jam 5 petang di Taman Melor Sejati, yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Susulan penemuan itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Hilir Perak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri membuat pemantauan di lokasi selama 12 jam bagi mengesan dalang yang terlibat.

"Saya yakin, susulan dari penularan laporan dan berita yang disiarkan oleh media, penjenayah berkenaan berasa takut dan panik kerana tidak menyedari kenderaan yang dilarikan adalah kereta jabatan yang digunakan oleh Pengarah JSJN Bukit Aman.

"Suspek kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan kenderaan berkenaan di kawasan terbabit sehinggalah ditemui oleh pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan untuk memeriksa kenderaan berkenaan bagi mengenal pasti pemilik sebenar selepas pemeriksaan nombor pendaftaran pada kenderaan itu didapati palsu.

"Hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan nombor casis mengesahkan kenderaan itu sebenarnya didaftarkan atas nombor pendaftaran kereta Datuk Seri Mohmad Salleh.

"Siasatan lanjut juga menemui beberapa kesan cap jari dan telah dihantar ke makmal forensik untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun, tiada barang berharga termasuk radio dilaporkan hilang dalam kereta berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan terbabit disedari hilang pada jam 8 malam, 18 April lalu, di sebuah restoran sate di Kajang ketika pemandunya dikatakan singgah untuk makan selepas melakukan penyelenggaraan kenderaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN Kenderaan rasmi PDRM hilang