Muhyiddin tidak perlu letak jawatan - Armada

Wan Ahmad Fayhsal menghadiri sidang akhbar pada Perhimpunan Agong tahunan Armada di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian / Rafeq Redzuan
Wan Ahmad Fayhsal menghadiri sidang akhbar pada Perhimpunan Agong tahunan Armada di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian / Rafeq Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Presiden parti itu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia berikutan enam pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa bersifat pendakwaan terpilih.

"Kita mahu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal dengan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

"Sebab (apa yang berlaku ke atas beliau) adalah pendakwaan terpilih," katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah ini atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.