Bekas pengarah syarikat didakwa ubah wang haram RM1.2 juta

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta pada 2020. - Foto Bernama
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta pada 2020. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta pada 2020.

Choo Peng Hoong, 41, yang merupakan bekas Pengarah Syarikat Choo Marketing Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank syarikat itu kepada sembilan akaun bank berbeza pada 11 hingga 24 Mac 2020.

Tertuduh didakwa melakukan transaksi berkenaan dengan memindahkan wang antara RM20,000 hingga RM405,025 di Maybank Berhad, Cawangan Prai Industrial Estate.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM100,000, bagaimanapun peguam mewakili Peng Hoong, Y Anbananthan memohon agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih bujang dan hanya bekerja sebagai jurujual yang berpendapatan RM3,500 sebulan, selain perlu menanggung ibu yang sudah tua.

Hakim Noor Aini Yusof kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua penjamin untuk semua pertuduhan, serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk tarikh sebutan semula kes. - Bernama