Tangani isu haiwan ternakan berkeliaran

Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan membabitkan haiwan ternakan.
Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan membabitkan haiwan ternakan.
A
A
A

SETIAP kali memandu di Jalan Ipoh-Lumut atau Jalan Bemban, Batu Gajah, Perak, penulis perlu berhati-hati terutama pada waktu malam.

Penulis pasti akan memperlahankan kenderaan kerana ada sahaja ‘lembaga berkaki empat’ yang akan mengganggu perjalanan.

Lembaga yang penulis maksudkan ialah haiwan ternakan iaitu kerbau dan lembu yang dibiarkan berkeliaran oleh pemiliknya. Biasanya berkeliaran di jalan raya.

Kejadian jam 1 pagi dua tahun lalu masih segar dalam ingatan penulis. Masih trauma dan menimbulkan panik jika terserempak dengan ‘lembaga’ tersebut.

Kerana seekor kerbau yang dibiarkan berkeliaran di jalan raya, penulis mengalami kerugian ribuan ringgit.

Bahagian bonet kereta remuk teruk akibat terlanggar haiwan tersebut. Sudah jatuh ditimpa tangga, penulis yang ketika itu bersendirian terpaksa pula menunggu trak penunda hampir dua jam dalam kegelapan malam kerana lokasi kejadian tidak mempunyai lampu jalan. Itu kisah penulis.

Dalam kejadian berasingan pada 23 Februari lalu di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita dilaporkan parah apabila kereta dinaiki bersama suami dan tiga anaknya, merempuh seekor kerbau sehinggakan haiwan itu ‘melekat’ di bumbung kereta mereka.

Insiden seumpama itu turut mengorbankan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau di Dengkil, Selangor pada 7 Januari lalu.

Isu haiwan ternakan yang dibiarkan tanpa pengawasan bukanlah isu baharu, malah ia juga menjadi salah satu punca kemalangan jalan raya.

Kejadian tersebut boleh dielakkan jika pemilik ternakan lebih bertanggungjawab.

Sikap lepas tangan pemilik haiwan menyebabkan nyawa pengguna jalan raya menjadi taruhan.

Walaupun bertuan, jangan hairan jika berlaku kemalangan disebabkan haiwan ternakan, tuannya tidak akan mengaku haiwan tersebut milik mereka, sebaliknya jika haiwan ternakan dicuri atau diracun, berani pula tampil membuat laporan polis.

Punca haiwan ternakan berkeliaran kerana dikatakan penternak tidak mempunyai kawasan ragutan atau sumber makanan mencukupi, selain tidak mempunyai kandang ternakan sesuai, sedangkan ia kriteria yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kepada penternak.

Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT), antara agensi yang aktif menangani isu tersebut, sama ada dari segi penguatkuasaan mahupun bantuan awal kepada penternak.

Salah satu PBT di Perak ada menawarkan sebuah kawasan ragutan dan kandang kepada pemilik haiwan sebagai usaha menangani isu tersebut, namun cabaran yang dihadapi mereka adalah tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dengan alasan kawasan disediakan terlalu jauh.

Kompaun yang dikenakan antara RM500 hingga RM2,000 dilihat tidak lagi menggentarkan penternak, apatah lagi haiwan ternakan tidak mempunyai penanda (tagging) hingga menyukarkan usaha mengesan pemiliknya untuk diambil tindakan.

Tahun lalu, kerajaan Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani haiwan ternakan berkeliaran.

Jawatankuasa itu antara lain berperanan mencari kaedah bagi mengatasi masalah utama – mengenal pasti pemilik sebenar haiwan ternakan.

Penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran boleh didakwa di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001.

Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan, polis boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Malah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) boleh ambil tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau 2014. Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil ke atas penternak.

Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan, antaranya melakukan tangkapan sekiranya haiwan berkeliaran di kawasan awam.

Penangkapan hendaklah dilakukan oleh pihak berkuasa dan bukan orang awam bagi mengelak implikasi undang-undang.

Selain itu, JPV perlu lebih agresif membuat penandaan ke atas lembu, kerbau dan kambing yang diternak untuk kawalan berkesan.

Mungkin agak sukar untuk dilaksanakan bagi mewajibkan pendaftaran, namun jika mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama di peringkat kampung, pasti dapat membantu melancarkan perkara tersebut.

Kecuaian pemilik haiwan wajar dihukum dengan undang-undang yang ada. Namun, kunci utamanya kembali kepada tanggungjawab penternak demi keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak