Relevan lagikah pemilihan UMNO, soal Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dengan nada sinis mempersoalkan sama ada pemilihan parti tersebut masih relevan atau tidak.

Ini kerana menurutnya, parti itu sendiri telah menjadi pilihan ketiga dalam kalangan pengundi Melayu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Jika dulu, pemilihan UMNO sangat penting kerana siapa yang menang, mereka akan menerajui kerajaan dan sebahagian ahlinya memegang portfolio penting dalam pentadbiran negara.

“Tetapi UMNO sekarang adalah pilihan ketiga dalam kalangan pengundi Melayu.

"Kini UMNO sudah tinggal 26 kerusi keputusan paling buruk dalam sejarah parti UMNO di bawah (Presiden UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 2, disiarkan di Youtube pada Khamis.

Siaran podcast Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan
Siaran podcast Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan

Program tersebut turut menampilkan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, meskipun keahliannya telah dilucutkan, UMNO masih tetap dalam hati beliau.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa pemilihan UMNO kali ini bukan untuk ahli-ahli bersorak mempertahankan pucuk pimpinan tetapi ini adalah permulaan untuk melaksanakan perubahan besar dalam parti UMNO.

“Kita mahu melihat individu ataupun calon yang boleh membawa suara daripada akar umbi yang mungkin tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan.

“Ini juga adalah peluang kepada perwakilan supaya mereka tidak memilih semua calon yang menyokong kuat pucuk pimpinan (presiden) dan tidak ada semak dan imbang langsung,”ujarnya.

Sementara itu, Shahril Sufian, yakin bahawa parti itu masih mempunyai harapan kerana UMNO masih dalam jiwa masyarakat Melayu.

“Percakapan di luar saya masih lagi mahu melihat UMNO yang asal ataupun UMNO yang berubah. Masyarakat Melayu masih ada nostalgia terhadap UMNO dan kita tidak boleh selesa dengan nostalgia.

“Pemilihan UMNO kali ini perlu lebih logik dan rasional, semak dan imbang serta tidak menjadi pengampu,”katanya