Banjir: Pahang hantar bantuan kali kedua kepada Johor

Wan Rosdy dan Sabariah menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pahang Prihatin ke Parlimen Parit Sulong di pekarangan Kompleks MBK pada Khamis.
Wan Rosdy dan Sabariah menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pahang Prihatin ke Parlimen Parit Sulong di pekarangan Kompleks MBK pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meneruskan bantuan berupa barangan keperluan asas bernilai RM50,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Johor.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan kali kedua itu berupa selimut, lampin pakai buang, kit penjagaan diri dan beberapa keperluan lain.

Menurutnya, bantuan kali ini dihantar untuk mangsa banjir khususnya di Parlimen Parit Sulong yang merupakan antara lokasi terjejas teruk.

"Misi bantuan banjir ini sentiasa dilakukan bagi membantu mangsa yang terjejas di negeri lain dan akan diteruskan sekiranya ada keperluan serta kemampuan kewangan.

"Pada masa sama, kita juga menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pahang Prihatin ke Parlimen Parit Sulong di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA), Che Adam A Rahman.

Wan Rosdy berkata, bantuan itu sebagai satu sokongan moral kepada rakyat Johor yang berdepan bencana itu.

"Sebagai sebuah negeri yang sering dilanda banjir, kita faham kesulitan yang dihadapi mereka.

"Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di Johor," katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga akan menyelaraskan sukarelawan untuk misi bantuan pasca banjir ke negeri berkenaan.

"Buat masa sekarang, tumpuan diberikan untuk mangsa banjir di daerah Rompin memandangkan banyak rumah penduduk terjejas yang perlu dibersihkan," katanya.