Rimas kebanjiran warga asing

Kemelut dihadapi Malaysia dalam isu warga asing dilihat seperti tidak berpenghujung. - Foto hiasan/Bernama
Kemelut dihadapi Malaysia dalam isu warga asing dilihat seperti tidak berpenghujung. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, masalah yang ditimbulkan oleh warga asing hangat diperkatakan di media sosial. Mereka semakin berani membina penempatan sendiri yang lengkap dengan kemudahan seperti kedai runcit dan sekolah.

Sikap mereka juga kurang disenangi oleh warga tempatan kerana lagak dan ‘besar kepala’ yang ditunjukkan seolah-olah warga asing mempunyai hak serta kuasa istimewa di negara ini.

Mengapa warga asing berani bersikap sedemikian? Adakah kad dikeluarkan agensi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjadi lesen besar buat golongan berkenaan untuk dilihat berkuasa dan tidak dikenakan sebarang tindakan?

Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan seorang individu etnik Rohingya yang mendakwa tindakan aktivis masyarakat, Mohd Sophian Mohd Zain hadir ke premis-premis perniagaan dimiliki etnik berkenaan mengganggu urusan mereka.

Individu berkenaan turut mendakwa warga Rohingya di negara ini tidak pernah mengganggu urusan warga tempatan, malah bekerja sendiri demi mencari rezeki.

Hal demikian sudah tentulah mencetuskan persoalan bagaimana golongan berkenaan boleh bebas berniaga? Jika tidak dibendung, tidak mustahil suatu hari nanti golongan pendatang akan menutup rezeki rakyat tempatan.

Baru-baru ini Sinar Harian mendedahkan laporan eksklusif tentang kebanjiran pelarian Rohingya di kawasan Bagan Dalam, Pulau Pinang.

Sikap mereka tidak disenangi terutama dari aspek kebersihan. Mereka tanpa rasa bersalah meludah sisa sirih merata-rata, sekali gus menimbulkan masalah kepada penduduk tempatan.

Sudah tentu jika perkara seperti itu berlarutan akan menimbulkan lebih banyak suasana merimaskan dan menyebabkan penduduk tempatan seperti ‘menumpang’ di tanah sendiri.

Itu belum lagi mengambil kira kes jenayah melibatkan golongan warga asing, penguasaan di sesuatu lokaliti terutama di Lembah Klang dan pelbagai lagi yang menimbulkan kegusaran domestik.

Pada awal Februari lalu, negara turut digemparkan dengan terbongkarnya penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Nilai yang diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan.

Warga asing yang mendiami perkampungan berkeluasan 29,000 meter persegi atau seluas dua padang bola sepak itu didapati menggunakan generator untuk bekalan elektrik, selain terdapat 30 struktur rumah kayu bagi kediaman, stor kecil dan sekolah yang mempunyai silibus dari negara jiran.

Bayangkan, penempatan haram itu mungkin boleh berkembang menjadi sebuah ‘kerajaan kecil’, semakin membesar dengan melahirkan lebih banyak generasi yang kemudiannya akan menuntut hak sama seperti dinikmati oleh rakyat Malaysia terutama melibatkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

Justeru, kerajaan, pihak penguat kuasa dan pelbagai agensi berkaitan perlu bekerja keras serta melipatgandakan usaha dari segi pemantauan dan penguatkuasaan.

Kerajaan mesti bertindak tegas dalam isu melibatkan pelarian Rohingya yang menceroboh masuk ke negara ini termasuk tidak lagi menerima mereka selepas ini.

Begitu juga dari segi penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan disarankan melaksanakan hukuman yang sama terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti juga pesalah lain sama ada hukuman penjara atau sebat bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Memang diketahui, Malaysia gigih berusaha menangani masalah warga asing menerusi pelbagai saluran diplomatik dan forum antarabangsa, khususnya kerjasama antara negara ASEAN tetapi entah di mana silapnya, nasib sering tidak menyebelahi negara.

Kemelut dihadapi Malaysia dalam isu warga asing dilihat seperti tidak berpenghujung tetapi kita tiada pilihan, selain berusaha menamatkan masalah tersebut.

Ia bukan sahaja bagi memelihara imej Malaysia, bahkan demi menjamin keselamatan sosial dan ekonomi negara.

* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian