Akta Pendanaan Politik dirujuk JPKP

AZALINA
AZALINA
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas seterusnya diambil kira bagi memastikan akta yang digubal bersifat menyeluruh.

"Untuk akta pendanaan politik, kita akan rujuk kepada jawatankuasa pilihan khas, seperti yang dibincangkan sebelum ini.

"Saya difahamkan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membuat pengumuman mengenai kewujudan jawatankuasa pilihan khas Parlimen nanti.

"Jadi akta pendanaan politik itu akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakya pada Rabu.

Dalam pada itu Azalina (BN-Pengerang) memaklumkan, kerajaan akan mengambil kira amalan dan perundangan sedia ada untuk mengatasi isu dana politik, antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan, Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram 2001 (Akta 613).

“Susulan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15, landskap politik di Malaysia turut mengalami beberapa perubahan di mana terdapat gabungan politik yang baru.

“Oleh yang demikian, sesi libat urus perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas parti-parti politik dan pihak berkepentingan, agar rang undang-undang yang bakal digubal ini adalah inklusif dan komprehensif," ujarnya.