Thayaalan teruja dengan alat muzik Tradisional Melayu

Thayaalan dan ajli kumpulannya Adun Rimbun Klasik
Thayaalan dan ajli kumpulannya Adun Rimbun Klasik
A
A
A

PORT DICKSON - Jika kebanyakan pemuda seusianya berminat dengan alat muzik moden, lain pula dengan S Thayaalan, 21, yang lebih teruja dengan alat muzik tradisional.

Malah anak kelahiran Negeri Sembilan itu lebih sukakan alat muzik tradisional Melayu seperti gamelan dan gambus yang biasanya dikuasai orang Melayu.

Menurutnya, minatnya berputik ketika berusia tingkatan satu lagi selepas sering mendapat galakan daripada guru muzik untuk belajar tentang muzik tradisional Melayu.

"Alat muzik pertama yang saya main ialah gendang dan sejak itu saya terus jatuh cinta dengan muzik tradisional kerana merasakan ia unik.

Thayaalan (tengah) bersama ahli kumpulan.
Thayaalan (tengah) bersama ahli kumpulan.

"Saya boleh katakan karier muzik saya bermula ketika di tingkatan satu apabila guru memberi kepercayaan kepada saya untuk sertai kumpulan muziknya di majlis perkahwinan orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat persembahan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Ujarnya, muzik tradisional Melayu kena dengan jiwanya mungkin disebabkan ketika kecil dia diasuh oleh jirannya yang berbangsa Melayu.

Sejak itu kata Thayaalan, dia menanam nekad untuk menjadikan bidang muzik sebagai kerjaya sekali gus mendorongnya menyambung pengajian dalam bidang terbabit di Universiti Perguruan Sultan Idris.

"Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang agak skeptikal kepada bidang muzik dan merasakan ia tiada masa depan.

"Tapi sebenarnya jika betul-betul serius kita boleh pergi jauh. Cumanya yang membuatkan ibu bapa mungkin menolak anak-anak mereka sertai muzik kerana merasakan ia membuang masa dan melekakan," katanya.

Selain itu, dia juga berpendapat muzik boleh dijadikan sebagai simbol perpaduan semua kaum dan merupakan satu ekspresi budaya.