Perkeso laksana Ops Cegah 2023

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Program pencegahan kemalangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Ops Cegah 2023 akan dilaksanakan di seluruh negara bermula hari ini hingga 22 Mac depan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ops yang bertemakan 'Kebersamaan Mengurangi Risiko Kecederaan dan Kematian Pekerja' itu diadakan buat kali kedua selepas tahun 2022.

Menurutnya, untuk tahun ini, Ops Cegah 2023 akan dijalankan secara bersepadu oleh Perkeso bersama beberapa jabatan dan agensi.

"Ia termasuklah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tujuan utama Ops Cegah adalah untuk menyampaikan mesej mengenai kemalangan pekerjaan yang merupakan tanggungjawab bersama. Ia perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana pekerja merupakan aset berharga kepada organisasi dan negara, termasuklah keluarga masing-masing," katanya ketika Majlis Pelancaran Ops Cegah 2023 di Menara Perkeso, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Mohammed Azman, ops tahun kedua ini akan diadakan dengan lawatan ke lebih 1,000 premis majikan di seluruh negara, bagi melaksanakan sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi syarikat yang merekodkan kemalangan tertinggi berdasarkan senarai Top 100 dan Top 20 dalam tahun 2022.

Jelasnya, jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso pada tahun 2022 adalah sebanyak 72,149 kes, berbanding 56,990 kes pada tahun 2021, sekali gus menunjukkan kenaikan sebanyak 26.6 peratus.

"Peningkatan ini mungkin disebabkan lebih banyak sektor ekonomi yang kembali dibuka dan rancak meneruskan aktiviti mereka pasca pandemik Covid-19.

"Oleh itu, tindakan bersepadu dari semua pihak adalah perlu bagi memastikan trend peningkatan ini dapat dikawal, maka Ops Cegah 2023 akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula hari ini hingga 22 Mac 2023," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, seramai 26 majikan telah terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso yang melibatkan kemalangan perjalanan.

“Ia sekali gus mencatatkan penurunan kadar kemalangan antara 12 sehingga 80 peratus.

"Bagi kemalangan industri pula, sebanyak 32 majikan telah berjaya keluar dari senarai tersebut dengan penurunan kadar kemalangan yang dicatatkan antara 6 hingga 80 peratus," katanya.